Parti Berupaya Tanggani Lapan Kriteria Miliki Kunci Menang PRU14- Salleh

LUMUT, 13 Ogos — Parti yang berupaya menguruskan isu dalaman, imej, persepsi dan media, termasuklah media sosial akan berada dalam kedudukan yang lebih kuat untuk memenangi pilihan raya umum (PRU) ke-14, kata Bendahari Agung UMNO Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Untuk itu, beliau menggariskan lapan kriteria utama yang perlu ditangani iaitu menguruskan isu-isu, imej perpaduan, jentera parti, kepimpinan, media termasuk media sosial, dana, manifesto dan calon.

“Lapan kriteria ini menentukan parti mana yang boleh menang dalam setiap pilihan raya. Oleh itu, berikan perhatian khusus kepada kriteria-kriteria ini dan semua ini perlu diurus dengan baik,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Lumut di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Perak merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata adalah penting bagi UMNO dan komponen Barisan Nasional (BN) untuk menguruskan isu yang terbahagi kepada tiga iaitu peringkat nasional, negeri dan tempatan.

“Kita kena bezakan isu ini dan terserahlah kepada UMNO negeri untuk tanganinya kerana sekarang ini kita hidup dalam dunia yang berbeza,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai lapan faktor penentu kemungkinan untuk meraih kemenangan dalam PRU akan datang, Salleh, yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata media sosial masa kini memainkan peranan dalam kehidupan harian dan adalah penting bagi memeriksanya secara berimbang selain perlu rasional dalam membuat pertimbangan.

“Sebab itulah kita kena tangani, urus media sosial ini dan harus berani melawan dengan memberi fakta. Kadangkala masalah memberi fakta dan auta, tapi auta menang, itu yang masalahnya,” katanya.

Bagi imej perpaduan dan persepsi, katanya, perkara itu penting kerana sekiranya UMNO tidak menguruskannya dengan baik, maka akan timbul seolah-olah wujudnya perpecahan dan persepsi negatif rakyat terhadap parti itu.

Beliau turut menyentuh menguruskan jentera kempen dengan baik boleh mempertingkatkan perkhidmatan berkualiti kepada rakyat.

“Ini adalah faktor penentu dan sesiapa yang (dapat) mengawal keadaan akan mendapat sokongan untuk memenangi pilihan raya umum,” katanya.

Sehubungan itu, Salleh menggesa anggota UMNO supaya bersatu dan fokus dalam meningkatkan persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-14.

Beliau juga menyeru agar jentera parti UMNO memberikan sokongan padu kepada Zambry yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor.

Sementara itu, dalam sidang media selepas majlis itu, Salleh berkata beliau tertarik dengan slogan Zambry ‘tiada tertinggal, tiada terpinggir’ bukanlah sekadar slogan kosong kerana Menteri Besar itu terbukti memainkan peranan penting dalam mencari inisiatif di samping membawa banyak projek pembangunan demi kepentingan rakyat negeri ini.

“Beliau (Zambry) telah melakukan banyak perkara untuk orang-orang Perak, tindakannya lebih kuat daripada kata-kata. Dia juga memiliki ciri-ciri personaliti yang positif, berpendidikan tinggi, dan mempunyai ciri-ciri pemimpin yang baik.

“Pada saya, itu kunci segala-galanya yang harus kita lakukan sepertimana yang dilakukan MB (Zambry), bukan (hanya) turun padang, tapi cuba mengurus padang menyelesaikan masalah, mendengar masalah dan mencari jalan untuk mengatasinya kerana rakyat mahu kepimpinan seperti itu.

Oleh yang demikian, Salleh yakin rakyat Perak akan terus menyokong kepimpinan BN untuk mengekalkan kerajaan negeri sekarang.

  • Infografik