Jangan Terpengaruh Sentimen Politik Pecah Belah Dan Kebencian – Hishammuddin

TENOM, 13 Ogos  — Naib presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein meminta rakyat di Sabah agar tidak mudah terpengaruh dengan pihak yang cuba menanam politik kebencian dan adu domba sehingga boleh mengancam keselamatan negara semata-mata untuk kepentingan politik.

Hishammuddin berkata,sekiranya keselamatan di negara ini, khususnya di Sabah, tergugat disebabkan perbuatan pihak tidak bertanggugjawab berkenaan yang menjadikan keselamatan sebagai ‘taruhan politik’, maka rakyat negeri ini yang akan menanggung akibatnya.

“Sekiranya keselamatan Sabah ini jadi pertaruhan, jadi gadaian, akhirnya kalau pertimbangan mereka silap, yang jadi mangsa nanti ialah rakyat Sabah sendiri yang tidak berdosa. Ini yang berlaku di negara Timur Tengah dan negara tertentu,” katanya.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Zon 4 di sini hari ini. UMNO Zon 4 merangkumi UMNO Bahagian Keningau, Tenom dan Pensiangan.

Turut hadir pada majlis berkenaan Ketua UMNO Bahagian Keningau Datuk Sairin Karno, Ketua UMNO Bahagian Tenom Datuk Rubin Balang dan Ketua UMNO Bahagian Pensiangan Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin.

 

Menurut Hishammuddin, pendekatan berpolitik kebencian dan perpecahan yang cuba dimainkan pihak pembangkang di Sabah, termasuk yang pernah berada di dalam kerajaan suatu ketika dahulu, boleh menjurus ke arah perpecahan.

Sebagai contoh, katanya, sentimen Sabah untuk orang Sabah yang ditiupkan pemimpin berkenaan boleh memecahbelahkan dan jelas bermotifkan politik peribadi kerana semasa pemimpin itu berada dalam kerajaan dahulu, tidak pernahpun membangkitkan perkara itu.

“Kalau nak berpolitik pun ada hadnya…ini yang saya ingatkan perwakilan hari ini. Jangan main-main dengan sentimen perkauman, sentimen agama, sentimen berpolitik antara Sabah dan Semenanjung. Dah cukup cantik dah (situasi kita) selama ini.

“…(Sikap) rakus, tamak, ego, marah, teringin nak merampas kuasa dan matlamat menghalalkan cara ini semua amat berbahaya. Kita perlu terangkan kepada orang ramai bahawa tiada parti selain Barisan Nasional yang lebih konsisten merentasi warna kulit dan agama untuk membangunkan dan membela rakyat Sabah ini,” tegas Hishammuddin yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas.

Justeru, kata, Hishammuddin, komitmen kerajaan persekutuan untuk memastikan keselamatan Sabah sentiasa terjamin, tidak boleh dipertikaikan kerana pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk mencapai matlamat berkenaan termasuk menempatkan lebih banyak aset keselamatan di Sabah, khususnya di pantai timur.

Katanya bilangan aset-aset ketenteraan dan keselamatan serta anggota keselamatan yang ditempatkan di Sabah mungkin tiga hingga empat kali ganda lebih banyak berbanding yang diletakkan di negeri asal beliau sendiri iaitu Johor.

Mengenai kedudukan UMNO Sabah, Hishammuddin berkata, UMNO negeri itu sudah kembali pulih dengan anggota dan kepimpinannya sudah fokus kepada perjuangan asal parti serta jauh berbeza berbanding tahun lepas ketika ada pemimpin UMNO negeri itu keluar meninggalkan parti.

Menurutnya, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa telah memimpin Sabah dengan cukup baik malah mempunyai begitu banyak perancangan untuk pembangunan masa depan Sabah namun semua itu akan dapat dilakukan sekiranya mendapat mandat besar daripada rakyat pada pilihan raya umum akan datang.

  • Infografik