Jangan Biar Pembangkang Hidup Atas Fitnah – Ismail Sabri

SEPANG, 13 Ogos — Anggota UMNO perlu lebih agresif menjawab setiap fitnah yang dilemparkan kepada parti dan tidak membiarkan pembangkang terus ‘hidup’ atas fitnah.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sikap lesu serta lambat bertindak anggota parti boleh memakan diri apabila mereka mula panik sehingga menyerang parti dan kepimpinan ekoran termakan dengan hasutan dibuat.

Beliau berkata walaupun sedikit, setiap anggota parti perlu memahami isu di sebalik fitnah yang ditaburkan, bukan hanya bergantung kepada ‘serangan balas’ oleh pimpinan tertinggi.

“Sekarang ini, pembangkang hanya bergantung kepada fitnah untuk terus hidup sedangkan kita boleh ‘menoktahkan’ mereka dengan menjawab secara berfakta setiap perkara negatif yang dilemparkan pada UMNO.

“Saya yakin, jika setiap lapisan dalam UMNO peka dan mengambil maklum hal sebenar di sebalik fitnah yang dibuat seperti isu 1MDB atau GST, ia boleh diguna bagi menangkis sebarang salah fakta atau sekurang-kurangnya membuang rasa ragu-ragu di dalam diri mereka sendiri tentang isu yang difitnahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Sepang di sini hari ini.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Datuk Marsum Paing, Timbalannya yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil Shahrum Mohd Sharif.

Ismail Sabri berkata, sikap PAS yang boleh menerima dan memahami hal sebenar di sebalik isu yang menyelubungi 1MDB selepas diberi penerangan, membuktikan bahawa fakta boleh ‘mencerahkan’ segala kekeruhan yang timbul, yang antaranya disebabkan fitnah.

“Selepas diberi penerangan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy, PAS membuat kesimpulan menerima penjelasan tersebut dan memahami bahawa peluang perlu diberi kepada 1MDB untuk melaksanakan pelan rasionalisasinya.

“Itu bukti jelas dan perlu dijadikan panduan oleh setiap anggota UMNO bahawa tanpa penjelasan berfakta, fitnah akan dianggap benar,” katanya.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu bagaimanapun mengakui masih wujud jurang pemahaman tentang sesuatu isu yang menjadi bahan fitnah pembangkang di kalangan anggota UMNO di peringkat akar umbi yang memerlukan kerja keras dan penjelasan lebih menyeluruh pimpinan parti.

Pada majlis itu, Ismail Sabri turut mengumumkan dana sebanyak RM1juta bagi projek membina atau menaiktaraf jalan kampung di dalam Parlimen Sepang.

  • Infografik