Jangan Bergantung Harap Kepada Parti Caca Merba, Tak Jelas Matlamat Dan Perjuangan – Tg Adnan

KUALA KANGSAR, 12 Ogos – Setiausaha Agung UMNO Malaysia, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan bahawa rakyat, khususnya bangsa Melayu tidak boleh bergantung harap kepada parti-parti pembangkang yang jelas dalam keadaan caca merba serta tidak mempunyai hala tuju perjuangan yang jelas untuk agama, bangsa dan tanahair.

Menurut beliau, semua parti pembangkang yang wujud di negara ini ditubuhkan bukan kerana matlamat perjuangan untuk membangunkan negara dan membela rakyat, tetapi ditubuhkan atas dasar dengki dan ketidakpuasan hati akibat dipecat termasuk juga kerana kalah dalam pertandingan.

“Saya nasihatkan rakyat agar tidak bergantung harap dengan parti-parti pembangkang yang jelas caca merba dan tidak punyai matlamat. Ini adalah kerana semua parti pembangkang itu wujud bukanlah kerana matlamat perjuangan, tetapi kerana rasa dengki dan juga tidak dapat mencapai matlamat peribadi.

“Kita lihat bagaimana Anwar Ibrahim bertindak menubuhkan PKR lantaran tidak berpuas hati kerana dipecat dari UMNO. Kemudian Tan Sri Muhyiddin (Yassin) dan Datuk Seri Mukhriz (Mahathir), apabila mereka dipecat, mereka tubuh pula parti baru PPBM. Begitu juga dengan Dap yang jelas merupakan parti anak beranak untuk kepentingan mereka.

“Sudahlah ditubuhkan atas dasar kekecewaan kerana matlamat politik peribadi tidak tecapai, bahkan parti-parti ini juga tidak mempunyai struktur yang tersusun di peringkat akar umbi. Ini amat bebeza dengan UMNO yang merupakan sebuah parti yang mempunyai struktur kekuatan di peringkat akar umbi dan mempunyai cawangan di bandar mahupun di kampung-kampung di seluruh negara,” tegasnya.

Tengku Adnan berkata demikian dalam ucapannya sebelum merasmikan mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kangsar bertempat di Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.

Di samping itu, beliau turut menyeru agar ahli-ahli dan kepimpinan UMNO di peringkat akar umbi agar terus bersatu padu demi untuk menjadikan parti terus kukuh dan utuh sebagai sebuah parti politik terbesar di negara ini.

“Ahli-ahli dan kepimpinan UMNO di akar umbi mesti terus mengekal perpaduan, bersatu padu dalam gerak kerja jika kita sayangkan parti yang menjadi wadah perjuangan untuk agama, bangsa dan negara kita ini. Kalau kita lebih sayangkan cita-cita peribadi daripada sayang kepada perjuangan UMNO, maka parti kita akan jadi rosak.

“Jika kita bersatu, percayalah bahawa tidak akan ada pihak yang mampu untuk mengganggu gugat perjuangan kita ini. Sebab itu kita kena menghayati cogan kata UMNO iaitu bersatu, bersetia dan juga berkhidmat. Kita mesti bersatu untuk kekuatan parti, bersetia kepada perjuangan parti dan juga institusi kepimpinan parti, dan seterusnya berkhidmat untuk rakyat.

“Justeru, saya meminta agar ahli-ahli dan kepimpinan di peringkat akar umbi agar turun padang mendekati rakyat.  Dekatkan diri kita dengan masyarakat. Ambil tahu segala permasalahan mereka dan bantu rakyat semampu yang mungkin untuk selesaikan segala permasalahan mereka.”

Katanya, Senario hari ini bukan seperti dulu kerana rakyat hari ini terdedah dengan pelbagai maklumat.

“Rakyat melihat dan mendengar apa yang berlaku dan apa yang kita lakukan apatah lagi kita mempunyai 25 ribu cawangan di seluruh negara.

“Jika semua ahli dan kepimpinan di peringkat akar umbi turun padang, mendengar keluhan rakyat serta membantu menyelesaikan masalah mereka, insya-Allah UMNO dan BN mampu untuk memperolehi kemenangan yang lebih besar pada PRU akan datang” tegasnya lagi.-MediaUMNO

  • Infografik