Pakatan Pembangkang Pakatan Ali Baba, Ingat Sejarah Perak – Saarani

LENGGONG, 11 Ogos – Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Saarani Mohamad menyifatkan pakatan pembangkang seumpama pakatan ali baba yang meletakkan wajah pemimpin-pemimpin Melayu dari PPBM, PKR dan juga PAN sebagai muka hadapan sedangkan hakikat sebenarnya yang mencatur dan berkuasa dalam membuat keputusan adalah parti Dap.

Menurut beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, ini berdasarkan kepada pemilikan kerusi parlimen parti-parti pembangkang di mana Dap merupakan parti pembangkang yang terkuat dan terbanyak kerusi berbanding PPBM, PAN dan juga PKR.

”Apa yang cuba mereka lakukan ini telah pun berlaku di Perak. Ketika pakatan pembangkang menang di Perak, Dap meletakkan pemimpin Melayu dari Pas, iaitu  Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar. Namun hakikatnya Dap lebih berkuasa pada ketika itu kerana mereka memperolehi 18 kerusi DUN, berbanding PKR yang memperolehi tujuh kerusi dan Pas pula tercorot dengan hanya memiliki enam kerusi.

“Sebab itulah kita lihat tindak tanduk Menteri Besar Perak ketika itu lebih banyak cenderung kepada agenda Dap. Salah satunya ialah pemberian tanah milikan selama 999 tahun kepada penduduk Kampung Baru Cina. Perkara seperti ini tidak pernah terjadi dalam sejarah pemerintahan negeri mahupun di peringkat negara.

“Bukan itu saja, tapi banyak lagi keputusan-keputusan kerajaan negeri Perak ketika itu jelas pemutusnya adalah Dap. Inilah muslihat Dap. Mereka tidak ke depan, tetapi meletakkan seseorang yang boleh menjadi boneka bagi melaksanakan sebarang agenda mereka di peringkat negeri, mahupun negara,” tegasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Begitu jugalah katanya lagi yang akan berlaku di peringkat pusat sekiranya pakatan harapan berjaya memenangi pilihan raya umum (PRU) ke 14 yang akan datang ini.

“Barisan kepimpinan Melayu di dalam pakatan harapan itu bagi saya hanyalah sebagai umpan Dap untuk menarik sokongan pengundi-pengundi Melayu.  Contohnya bagaimana Lee Kuan Yew memakai songkok ketika berkempen untuk menarik hati pengundi Melayu. Inilah yang mereka lakukan. Mereka tidak akan ke depan kerana tahu sentimen pengundi Melayu terhadap mereka tidak memberangsangkan.

“Sekiranya pakatan harapan berkuasa, maka kita akan lihat barisan kepimpinan Melayu juga akan berada di muka hadapan. Bezanya ialah, pemimpin-pemimpin Melayu itu tidak punya kuasa dalam membuat keputusan memandangkan parti yang mereka wakili itu hanya mempunyai bilangan kerusi yang jauh lebih rendah daripada yang dimiliki oleh Dap.

“Justeru itu, pastinya mereka terpaksa untuk akur dengan Dap lebih berkuasa daripada mereka berdasarkan kelebihan kerusi yang ada pada parti tersebut. Sejarah yang pernah berlaku di Perak itu adalah satu contoh yang jelas dan nyata,” jelasnya.

Justeru itu, beliau menyeru para pengundi, terutamanya bangsa Melayu agar tidak terperangkap dengan agenda politik Dap itu.

“Kita tahu bahawa Dap tidak akan berubah daripada ideologi rasis dan cauvinis mereka. Cukuplah kita lihat dalam parti Dap itu sendiri di mana hanya ada seorang dua sahaja selain berbangsa Cina yang terpilih untuk memegang jawatan dalam jawatankuasa pusat, namun jawatan tertinggi yang lain jelas didominasikan oleh satu kaum sahaja. Sedangkan mereka kata Dap itu parti terbuka untuk semua kaum.

“Bahkan Tun Mahathir yang sudah berbaik-baik dengan Dap kerana kepentingan politik peribadinya hari ini, telah  mengingatkan rakyat terutamanya orang Melayu selama 22 tahun beliau menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri sebelum ini, akan bahaya sekiranya Dap diberikan kuasa. Biarpun beliau sendiri sudah berbaik-baik dengan Dap, namun kata-katanya tentang Dap itu masih relevan sehingga ke hari ini.

“Jadi saya menaruh harapan yang tinggi agar para pengundi agar menolak parti yang membawa ideologi rasism dan cauvinism ini, termasuk juga menolak mana-mana pemimpin Melayu yang bersekongkol dengan Dap, demi untuk kita memastikan agenda Islam, bangsa Melayu dan tanahair terus dapat dipelihara dan dilaksana,” ujarnya.-MediaUMNO

  • Infografik