Kementerian Kaji Beri Insentif Kepada Golongan Profesion Teknikal

KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Kementerian Kerja Raya sedang mengkaji cadangan untuk memberi insentif kepada golongan profesion teknikal bagi mengiktiraf sumbangan mereka terhadap kemajuan infrastruktur negara.

Menterinya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata cadangan itu bagaimanapun perlu mengambil kira persetujuan daripada pelbagai pihak termasuk Kementerian Kewangan, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), serta agensi-agensi kerajaan dan swasta yang lain.

“Kami pernah mengangkat cadangan itu kepada JPA pada tahun 2012 namun ia tidak mendapat kelulusan. Usaha ini akan kami teruskan supaya insentif profesion teknikal akan dapat diberikan seperti profesion perubatan.

“Namun demikian, sebelum dapat melaksanakannya, kami perlu mendapatkan persetujuan daripada pihak berkepentingan yang mempunyai golongan profesion seperti jurutera, arkitek dan juru ukur,” katanya ketika menjawab soalan Datin Mastura Mohd Yazid (BN-Kuala Kangsar) pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Mastura mencadangkan kerajaan mengiktiraf golongan profesion teknikal dengan mengadakan Hari Profesion Teknikal Negara dan pemberian insentif tertentu atas sumbangan mereka terhadap pembangunan negara.

Sementara itu, menjawab soalan Shaharuddin Ismail (BN-Kangar) mengenai penaiktarafan Jalan Persekutuan dari Changlun ke Kuala Perlis, Fadillah berkata sebanyak RM41,250 sebulan dibelanjakan untuk tujuan itu.

Katanya sebanyak RM400,000 hingga RM500,000 dibelanjakan bagi kos penyelenggaraan rutin jalan tersebut.

“Dari tahun 2014 hingga 2016, sebanyak RM2.5 juta diperuntukkan untuk penyelenggaraan jalan-jalan persekutuan.

“Kementerian juga telah meluluskan sebanyak RM1.8 juta untuk penyelenggaraan berkala pada tahun ini, manakala RM200,000 untuk membaiki dan menggantikan penghadang jalan,” katanya.

  • Infografik