Kedudukan Negara Dalam WCY Ditentukan Beberapa Faktor – Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Ketidaktentuan geopolitik, kelembapan ekonomi dunia dan penurunan harga komoditi utama merupakan penyumbang kepada penurunan kedudukan negara dalam Buku Tahunan Daya Saing Dunia (WCY), demikian persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Berdasarkan WCY yang dikeluarkan oleh Institut Pembangunan Pengurusan, Malaysia jatuh ke tangga ke-24 tahun ini daripada kedudukan ke-19 pada 2016.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata walaupun kedudukan negara menurun, skor keseluruhan Malaysia menunjukkan peningkatan pada 83.53 peratus tahun ini berbanding 83.05 peratus tahun lepas.

“Peningkatan skor ini adalah hasil penambahbaikan yang ketara bagi indikator utama dalam laporan itu, seperti pelanggan jalur lebar mudah alih, produktiviti buruh, bilangan paten dan juga pengangguran belia,” katanya menjawab soalan Nga Kor Ming (DAP-Taiping) mengenai langkah kerajaan untuk mengurangkan beban hidup rakyat dan meningkatkan daya saing negara di persada dunia.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata pembangunan ekonomi negara bukanlah petunjuk sempurna yang menggambarkan kemakmuran rakyat, sebaliknya kerajaan memberi keutamaan kepada aspek sosial rakyat.

Justeru, bagi mengukur pencapaian ekonomi dan kualiti hidup rakyat, kerajaan telah mengambil inisiatif membangunkan Indeks Kualiti Hidup Malaysia (IKHM) sejak 1999 yang mengandungi 10 komponen dan 38 indikator.

Katanya IKHM dimantapkan lagi sebagai Indeks Kesejahteraan Malaysia (IKRM) yang diwujudkan pada 2012 agar skopnya lebih menyeluruh dengan mengandungi 14 komponen dan 68 indikator antaranya berkenaan pengangkutan, komunikasi, pendidikan, kesihatan, alam sekitar dan keluarga.

Bagi meningkatkan daya saing negara pula, Abdul Rahman berkata kerajaan mengumumkan produktiviti sebagai satu pemacu perubahan bagi mengekalkan ekonomi yang mampan dengan menyasarkan pertumbuhan minimum produktiviti pekerja sebanyak 3.7 peratus setahun dalam Blueprint Produktiviti Malaysia yang dilancarkan pada Mei lepas.

Dalam melindungi ekonomi Malaysia daripada kesan risiko dan mengekalkan momentum daya ekonomi negara, kerajaan melaksanakan pelbagai langkah antaranya meningkatkan tahap produktiviti pekerja, mempelbagaikan aktiviti ekonomi, meningkatkan hubungan baik dengan negara ekonomi utama dan menstabilkan pasaran kewangan, katanya.

Menjawab soalan tambahan Nga sama ada kerajaan bercadang menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi mengurangkan beban rakyat, Abdul Rahman berkata kerajaan tidak ada niat berbuat demikian kerana tindakan menghapuskan cukai tersebut adalah langkah kebelakang.

  • Infografik