Tampil Pemimpin Melayu Tapi Bau Tetap Dap

BAGAN SERAI, 9 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai, Datuk Sham Mat Sahat berkata, biarpun pakatan harapan menampilkan Tun Mahathir Mohamad dalam kepimpinan utamanya, namun mereka tidak dapat menyembuyikan hakikat sebenar bahawa Dap tetap merupakan parti paling berkuasa di dalam pakatan tersebut.

Menurut beliau, ini memandangkan kenyataan yang dibuat oleh Tun Mahathir terhadap UMNO dan kerajaan hari ini amat mirip seperti apa yang dikatakan oleh kepimpinan Dap selama ini, termasuklah terhadap Tun Mahathir sendiri ketika menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri sebelum ini.

“Biarpun pakatan harapan cuba menonjolkan Tun Mahathir sebagai pemimpin utama pembangkang menggantikan Anwar Ibrahim, namun mereka tidak dapat menyorokkan hakikat bahawa Dap tetap menjadi parti yang paling berkuasa di dalam pakatan harapan dan pemimpin Melayu hanya boneka.

“Sebab itulah, kita lihat hari ini, kenyataan pihak pembangkang termasuk Tun Mahathir sendiri terhadap UMNO dan kerajaan adalah berbaur Dap. Apa yang Dap kata terhadap UMNO dan kerajaan sebelum ini, itulah yang diungkapkan kembali oleh Tun Mahathir untuk menyerang UMNO dan kerajaan.

“Sebab itulah kita yakin, bahawa Dap sekadar menggunakan pengaruh Tun Mahathir untuk mendapatkan sokongan rakyat, khususnya pengundi Melayu, sepertimana mereka pernah mempergunakan Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat sebelum ini,” jelasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Tambah beliau, penguasaan Dap terhadap pakatan harapan bukanlah satu propaganda UMNO sepertimana kata sesetengah pihak, tetapi ianya adalah berdasarkan realiti dan fakta.

“Sebenarnya, bagi saya sejak dari Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan kini Pakatan Harapan, Dap sememangnya mahu menjadi parti yang paling berkuasa di dalam pakatan pembangkang. Sikap Dap itulah yang menyebabkan pakatan pembangkang berpecah sebanyak dua kali termasuklah apabila Pas bertindak keluar dari pakatan tersebut.

“Dap mahu pakatan pembangkang membawa idelogi politik pemikiran mereka seperti isu sama rata dengan slogan Malaysian Malaysia, dan kita dapat lihat hari ini kenyataan kepimpinan pembangkang, termasuklah Tun Mahathir dilihat lebih menjurus kepada kehendak politik Dap.

“Saya yakin, parti-parti lain seperti PKR, PAN dan juga PPBM tahu akan hakikat ini, namun kerana terlalu mahu berkuasa dan didesak dengan dendam kesumat terhadap UMNO, maka mahu tidak mahu, mereka terpaksa bercakap mengikut rentak dan nada yang dialunkan oleh Dap,” tegasnya.-MediaUMNO

  • Infografik