Bazaria Danau Kota Dipindahkan Selepas Kompleks Uptown Siap – Tengku Adnan

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Bazaria Danau Kota akan dipindahkan ke Kompleks Uptown Jalan Genting Klang apabila kompleks itu siap empat tahun lagi, kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Katanya buat masa ini bazaria itu akan terus beroperasi di tapak sedia ada.

“Status terkini projek Kompleks Uptown adalah di peringkat penyediaan Pusat Penjaja Sementara bagi memindahkan penjaja di Medan Aneka Jalan Genting Klang.

“Kompleks Uptown akan dibina selepas pusat penjaja sementara selesai dibina,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Dr Tan Kee Kwong (PKR-Wangsa Maju) mengenai status terkini Bazaria Danau Kota pada sesi pertanyaan jawab lisan persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Tengku Adnan berkata setakat ini terdapat 543 penjaja peniagaan barangan kering serta kira-kira 100 penjaja menjual makanan dan minuman di Bazaria Danau Kota.

“Kami akan membuka permohonan kepada penjaja untuk beroperasi di Kompleks Uptown bermula suku pertama tahun depan bagi proses pemindahan mereka ke kompleks itu,” katanya.

Setakat ini, terdapat lima lokasi bazaria di seluruh ibu kota iaitu dua di Bandar Tun Razak dan masing-masing satu di kawasan Parlimen Batu, Wangsa Maju dan Cheras.

“Had yang dibenarkan untuk berniaga ialah dari 9 malam hingga 3 pagi, termasuk had waktu mereka untuk memunggah barang-barang jualan,” kata Tengku Adnan.

  • Infografik