CAT Ciptaan Dap Perlu Diubah Kepada ‘Cheat, Arrogant, Tokong’

JELUTONG, 8 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Jelutong Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, slogan ‘Cekap, Akauntabiliti dan Telus’ (CAT) yang selama ini di agung-agungkan oleh Dap sebenarnya lebih membawa erti kepada ‘Cheat, Arrogant dan Tokong’.

Jelas beliau, ‘Cheat, Arrogant dan Tokong’ lebih bersesuaian dengan sikap pemimpin Dap terutama apabila satu demi satu pembohongan Dap itu mula terbongkar.

“Selama ini terlalu banyak tindak tanduk Dap yang menjadi persoalan dan kebelakangan ini semakin banyak rahsia Dap yang terbongkar.

“Bermula daripada pembelian anugerah yang menggunakan wang rakyat, kemudian isu permohonan rumah kos rendah yang diperolehi oleh pemohon yang tidak layak dan seterusnya tindak-tanduk Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) untuk tidak menyerahkan sepenuhnya wang hasil kutipan caruman saliran kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Pulau Pinang (JPSPP) untuk diakaunkan.

“Mungkin Dap boleh memberi alasan tidak tahu menahu berkaitan caruman ini tetapi adakah kerajaan negeri terlalu mudah diperbodohkan sedangkan selama ini mereka begitu sombong dalam berpolitik,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Tambah Razak, Dap harus mengakui slogat CAT mereka itu sebenarnya sudah lama mati kerana pentadbiran Dap di Pulau Pinang sedikit pun tidak memberi gambaran kepada slogan tersebut.

“Apakah tindak-tanduk pentadbiran Dap yang melambangkan kecekapan, ketelusan dan akauntibiti sedangkan ketua menteri sendiri sedang berhadapan dengan kes rasuah tetapi masih terus berdegil tidak mahu meletakkan jawatan?

“Bukan pentadbiran negeri sahaja yang tidak telus malah dalam parti juga tiada ketulusan apabila masalah pemilihan CEC sehingga kini masih tidak selesai.

“Jadi mungkin kerana mahu menutup segala kepincangan ini mereka merasakan dapat memperbodohkan rakyat dengan membeli anugerah bagi mengaburi mata orang ramai namun sayangnya sikap tidak beretika ini akhirnya berjaya dibongkar,” ujarnya lagi. – MediaUMNO

  • Infografik