Sidang DUN Dari 10 Hari Jadi Dua Hari… Apa Yang Kerajaan PKR Selangor Cuba Lari Sembunyikan?

KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor kali kelima yang ditamatkan lapan hari lebih awal sedangkan ia sepatutnya berlangsung selama 10 hari menimbulkan pelabagai persoalan masyarakat umum mengenainya.

Malah tidak ketinggalan, Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, YB Datuk Halimaton Saadiah Borhan yang turut menyatakan kekecewaanya terhadap apa yang berlaku itu yang dianggap tidak sewajarnya.

Menurut beliau apakah yang ingin disembunyikan oleh kerajaan negeri sehingga sidang DUN ditamatkan lebih awal daripada yang sepatutnya dan tindakan mereka yang hanya sempat menjawab 36 soalan daripada 297 soalan yang perlu dijawab oleh kerajaan negeri juga amat mendukacitakan.

“Memang betullah…jika ditanya kepada saya ianya amat mengecewakan. Kalau masyarakat umum pun boleh membuat perbandingan serta penilaian dan boleh menimbulkan persoaan mengenainya, apatah lagi wakil-wakil rakyat yang berkhidmat di akar umbi ini.

“Kita ingin tahu dan ingin dapatkan penjelasan…sewajarnya itulah tempat terbaik dan ruang yang ada pada kerajaan negeri untuk memberikan segala persoalan dan permasalahan yang dibangkitkan oleh wakil-wakil rakyat,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Zein Isma Ismail turut menyelar tindakan kerajaan negeri yang menamatkan persidangan DUN lapan hari lebih awal daripada tempoh 10 hari yang diperuntukkan serta menyifatkan tindakan tersebut menggambarkan kerajaan negeri tidak bersungguh dalam membela nasib rakyat di Selangor.

Selain itu, ADUN Semenyih, Datuk Johan Abd Aziz turut dilaporkan membidas tindakan kerajaan negeri Selangor yang memendekkan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai memperlihatkan mereka tidak serius untuk membincangkan isu-isu rakyat negeri itu yang begitu banyak untuk diperjelaskan.

Halimaton seterusnya menambah perkara itu tidak sewajarnya berlaku dan rakyat boleh melihat bagaimana urus tadbir sebuah kerajaan negeri yang kononnya ‘hebat’ dalam membela nasib dan kepentingan rakyat.

“Bayangkan daripada 10 hari ditamatkan kepada dua hari dan tentunya tempoh masa yang singkat itu menyebabkan soalan-soalan yang diajukan tidak dapat dijawab dengan baik dan sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

“Kita berharap perkara ini tidak lagi berlaku kerana platform berkenaan adalah ruang yang sebetulnya dalam merencana dasar dan pelaksanaan untuk rakyat,” ujarnya. –MediaUMNO

  • Infografik