UMNO Bukan Parti Berpaksikan ‘Politic of Fear’, Tolak Fitnah Dan Adu Domba – Nizar

KUALA LUMPUR, 2 Ogos – UMNO sememangnya sejak dahulu lagi bukanlah sebuah parti yang berpaksikan kepada pendekatan politik menakut-nakutkan rakyat sebaliknya mengajak mereka untuk bersama-sama dalam membangunkan negara dan mencipta pelbagai kejayaan untuk kepentingan bersama, demikian menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja, Datuk Ir Mohd Nizar Zakaria.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Perak menegaskan UMNO dan Barisan Nasional (BN) secara umumnya amat konsisten mengajak rakyat bukan sahaja bersatu padu malah sama-sama melihat ke depan dan itulah yang menjadi amalan selama ini.

“Jika dibandingkan dengan pembangkang, mereka suka adu domba, fitnah di sana-sini dan boleh dikatakan menjadi rutin kepada mereka dalam memburukkan kerajaan yang ada hari ini khususnya bertujuan mengelirukan rakyat.

“Kita adalah sebaliknya, yang berteraskan kepada dasar dan mempunyai prinsip serta polisi berasaskan kepada perlembagaan parti dan juga perlembagaan negara. Jadi di manakah ruang untuk kita ke arah politik sedemikian rupa,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Nizar menegaskan bahawa UMNO mempunyai banyak kelebihan termasuklah bersama rakan-rakan di dalam BN dengan permuafakatan serta prinsip konsensus yang menjadi amalan sejak sekian lama sehinggakan sebarang perkara yang timbul boleh diselesaikan secara baik.

“Ini lagi salah satu kelebihan kita…bukan sahaja tidak menjadikan politik menakut-nakutkan malah konsep kebersamaan yang ada berbanding mereka di sebelah sana, nak tentukan bakal calon perdana menteri pun tunggang-langgang… belum lagi masuk bab lain. Tidur sebantal tetapi mimpi tak sama, macam mana rakyat ingin menaruh kepercayaan.

“Akhirnya mereka buat persepsi macam-macam terhadap kerajaan yang ada hari ini namun insya Allah, selagi kita memberi pengharapan yang baik terhadap rakyat maka mereka akan terus memberi kepercayaan kepada kita,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas berkaiatan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika merasmikan mesyuarat UMNO bahagian Parit baru-baru ini yang menekankan bahawa UMNO sama sekali tidak menggunakan kaedah ‘politic of fear’ iaitu politik menakut-nakutkan rakyat sebaliknya mengambil pendekatan memberi keyakinan serta harapan kepada mereka.

Menurut beliau menerusi pendekatan tersebut UMNO dan BN berjaya memerintah dengan terus diberi keyakinan dan kepercayaan oleh untuk melaksanakan tanggungjawab menerajui kepimpinan negara hari ini. – MediaUMNO

  • Infografik