Lebih 20,000 Saksi Pelancaran MRT Laluan SBK

KAJANG, 17 Julai – Lebih 20,000 orang membanjiri Stadium Kajang hari ini bagi meraikan pelancaran kedua fasa kedua Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) oleh Datuk Seri Najib Tun Razak di sini.

Perdana Menteri, yang tiba kira-kira 12.30 tengah hari dengan menaiki MRT dari stesen bawah tanah Tun Razak Exchange selepas melancarkan projek berkenaan, disambut dengan meriah oleh para tetamu yang terdiri daripada penjawat awam dan swasta, badan bukan kerajaan, pesara serta pelajar.

Turut mengiringi beliau ialah isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, barisan menteri Kabinet, Pengerusi Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Tan Sri Dr Ali Hamsa, yang juga Ketua Setiausaha Negara, dan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Seri Shahril Mokhtar.

Pada majlis itu, Perdana Menteri dan para tetamu disaji dengan sate Kajang, iaitu makanan popular di bandar ini selain pelbagai juadah bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Najib kemudiannya menyerahkan sijil kepada 52 peserta Program Usahawan Muda MRT Kedua (MYEP II) kepada siswazah Bumiputera yang menamatkan latihan amali selama setahun bagi memperoleh kemahiran dan pengetahuan industri pembinaan,.

Program tersebut merupakan kerjasama Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

Perdana Menteri kemudiannya menyampaikan sumbangan kad MyRapid Touch ‘n Go kepada 20 daripada 100 penerima yang mewakili golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

MRT Laluan SBK mempunyai 31 stesen dengan 19 stesen baharu bagi fasa kedua, di mana tujuh merupakan stesen bawah tanah.

Projek mega infra rakyat itu yang menelan belanja RM21 bilion bakal merubah corak hidup bagi kira-kira 1.2 juta penduduk yang tinggal di sepanjang koridor 51km laluan tersebut.

Perkhidmatan, yang akan beroperasi mengikut kekerapan setiap 3.5 minit ini, mempunyai empat gerabak dapat memuatkan seramai 1,200 penumpang bagi satu perjalanan. Dianggarkan sebanyak 400,000 penumpang sehari akan menggunakan pengangkutan moden ini.

  • Infografik