Kecemerlangan TNB Bertaraf Dunia – Najib

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Kejayaan Tenaga Nasional Bhd (TNB) dalam menyediakan perkhidmatan yang cemerlang sehingga berjaya menembusi pasaran antarabangsa melayakkan gergasi utiliti negara berkenaan tergolong sebagai syarikat bertaraf dunia, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, kecemerlangan TNB turut diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila berjaya melonjak 15 anak tangga ke tangga 24 tahun ini berbanding 39 sebelum ini dalam kedudukan Global Top 50 Utility Brands 2017 yang dikeluarkan oleh Brand Finance yang berpangkalan di London.

Najib berkata nilai jenama syarikat utiliti berkenaan meningkat dengan ketara sebanyak 33 peratus kepada RM7 bilion berbanding RM5.26 bilion tahun lepas.

“Kejayaan ini menunjukkan bahawa apa yang dilakukan TNB kebelakangan ini telah membawa keberhasilan yang terbukti boleh dinilai,” kata beliau pada majlis Jamuan Hari Raya TNB di sini hari ini.

Turut hadir ialah isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Pengerusi TNB Tan Sri Leo Moggie, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Seri Azman Mohd serta kakitangan TNB.

  • Infografik