Kadar Kemiskinan Di Kedah Catat 2.23 Peratus

SIK, 17 Julai – Usaha kerajaan negeri melaksanakan pelbagai program meningkatkan taraf hidup rakyat memberikan impak positif apabila kadar kemiskinan di negeri ini mencatatkan peratusan rendah iaitu 2.23 peratus setakat 17 Mei lepas.

Tanpa menyatakan perbandingan peratusan itu sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri Datuk Mohd Tajudin Abdullah berkata seramai 22,260 orang atau 70.15 peratus telah keluar daripada garis kemiskinan.

“Saya boleh katakan peratusan ini rendah dan kadar kemiskinan di negeri Kedah semakin menurun. Ini hasil daripada usaha kerajaan persekutuan bersama kerajaan negeri dan ICU (Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan) yang akan tengok masalah kemiskinan bagi mengenal pasti golongan memerlukan untuk diberikan bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat dua rumah golongan memerlukan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Belantik sempena Program Kembara Seindah Syawal yang dilaksanakan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dekat sini hari ini yang turut disertai Ketua Eksekutif NCIA Datuk Redza Rafiq.

Mengulas lanjut, Mohd Tajudin berkata mesyuarat fokus kumpulan daerah yang dipengerusikan pegawai daerah diadakan setiap bulan bagi membincangkan isu kemiskinan penduduk dalam usaha mengenal pasti golongan memerlukan yang perlu dibantu kerajaan negeri.

Selain itu, beliau berkata seramai 40,218 penerima di negeri ini menerima manfaat menerusi pelbagai program bantuan yang dilaksanakan kerajaan sehingga kini dengan melibatkan peruntukan berjumlah RM22.568 juta.

“Program bantuan itu terdiri daripada Program Bantuan Rumah, Program Peningkatan Pendapatan, Bantuan Persekutuan dan Negeri (Jabatan Kebajikan Masyarakat) Amanah Saham Bumiputera (ASB) Sejahtera dan Dividen Lembu,” katanya.

Sementara itu, Mohd Tajuddin yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantik mengucapkan terima kasih kepada pihak NCIA melaksanakan program itu yang juga merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) agensi itu bagi membantu penduduk yang memerlukan di sekitar DUN Belantik.

“Program seperti ini amat baik sekali untuk penduduk DUN Belantik, dan menjadi satu sentuhan kepada rakyat, yang merupakan usaha murni membantu penduduk luar bandar,” katanya.

Beliau berkata menerusi lawatan itu juga, pihak NCIA akan membaik pulih dua rumah berkenaan kerana sudah daif bagi membantu penghuni mendapat tempat tinggal yang lebih selesa dan selamat.

Pada lawatan itu, Mohd Tajudin bersama Redza menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan makanan yang disumbangkan NCIA.

  • Infografik