Dari Berdolak Dalih Cuba Salahkan ROS, Dap Digesa Jawab Dahulu Lima Persoalan Kekeliruan CEC

BUKIT BENDERA, 17 Julai – Dalam Dap cuba berdolak-dalih atas arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC), sesungguhnya rakyat Pulau Pinang khususnya ahli Dap menuntut jawapan terhadap segala kekeliruan yang wujud sebelum ini.

Ketua Pergerakan Pulau Pinang Rafizal Abd Rahim berkata, sebelum Dap terus menjadikan arahan ROS sebagai modal politik, maka adalah lebih baik mereka menjawab beberapa persoalan penting berkaitan pemilihan CEC ini.

“Ada lima persoalan yang wajib Dap jawab… pertama, jumlah keseluruhan perwakilan adalah 2,576 orang dan mengapa notis hanya diberikan kepada 1,726 orang dari cawangan Sijil A dan kedua, mengapa wujudnya 547 orang yang dikenali sebagai pengundi ‘haram’.

“Ketiga, selama empat tahun kes ini dibiarkan oleh ROS, apakah yang Dap lakukan sepanjang tempoh tersebut bagi menyelesaikan masalah ini.

“Keempat, bagaimana boleh wujudnya kesilapan mengira undi kononnya berpunca daripada program computer ‘microsoft excel’ sehingga menyebabkan Vincent Wu Him Ven yang pada awalnya menang telah dikalahkan dan Zairil anak tiri Khir Johari dimenangkan sebagai ahli CEC ke 20,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Persoalan terakhir iaitu kelima yang perlu dijawab oleh Dap adalah apakah kriteria yang digunapakai oleh Dap sehinggakan Liew Chin Tong yang mendapat undi popular tertinggi sekali iaitu 1,438 undi tetapi beliau tidak dapat memegang jawatan terpenting dalam parti dan amat memalukan adalah Lim Guan Eng masih memegang jawatan Setiausaha Agung Dap walaupun beliau hanya sekadar di tangga kelima sahaja.

“Inilah lima persoalan penting yang harus dijawab oleh Dap sebelum mereka terus mempolitikkan isu pemilihan CEC ini.

“Jadi sebelum mereka sibuk mencari salah kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) maka adalah lebih baik bersihkan dahulu halaman sendiri sebelum sibuk membersihkan halaman orang,” sindir Rafizal.

Berikut adalah kronologi permasalahan CEC;

15 Disember 2012 – Kongres Nasional Dap untuk memilih 20 ahli Jawatankuasa CEC yang baharu telah menyaksikan kesemua calon Melayu ditolak oleh wakil-wakil yang hadir di majlis tersebut.

3 Januari 2013 – Selepas tiga minggu, Dap mengeluarkan kenyataan kononnya berlaku kesilapan teknikal dan menyalahkan program komputer Microsoft Excel. Alasan ini diberikan kerana pemilihan CEC yang awal dipertikaikan oleh ahli sendiri. Tindakan Dap itu dikutuk kerana parti cauvinis itu hanya ‘memperbetulkan’ pemilihan CEC setelah didesak dan terbukti parti itu rasis kerana tiada seorang pun Melayu berjaya merebut 20 jawatan CEC.

Vincent Wu Him Ven yang pada awalnya menang telah dikalahkan manakala Zairil anak tiri Khir Johari dimenangkan sebagai ahli CEC ke 20.

17 April 2013 – ROS mengeluarkan notis kepada Dap setelah menerima aduan penyelewengan ketika pemilihan itu. Ahli-ahli Dap membuat laporan kepada ROS tentang wujudnya penyelewengan dan manipulasi undi ketika pengundian. Di antara yang dilaporkan :

a. Dap gagal memberikan notis kepada 753 delegasi yang merupakan anggota sah dan layak mengundi pada pemilihan CEC pada 15 Disember 2012.

b. Wujud 547 perwakilan ‘haram’ yang kebanyakannya dari Pulau Pinang yang telah diarah mengundi nama-nama tertentu.

c. Dap didesak untuk memberi senarai 2,576 ahli, cawangan dan alamat, senarai 1,740 ahli yang berhak hadir dan mengundi beserta cawangan masing-masing, senarai 985 cawangan yang telah diberi status Sijil A dan salinan notis kepada 2, 576 ahli selain nama cawangan dan alamat di mana ia dihantar.

d. 851 daripada 2,576 perwakilan tidak hadir dan mengundi semasa pemilihan semula CEC dan secara misteri muncul pula 120 cawangan tambahan yang hadir dan pengundi diwakili oleh 450 perwakilan. Ini bermakna 1,301 perwakilan asal tidak hadir untuk mengundi.

17 Jun 2013 – ROS meminta Dap mengemukakan keterangan dan bukti mengenai silap kira undi pada Disember 2012. Pendaftar ROS berkata ia adalah untuk mengenal pasti sama ada silap kira undi tersebut berlaku atas sebab ‘computer glitch’ atau satu penyelewengan.

30 Julai 2013 – ROS mengarahkan Dap mengadakan pemilihan semula CEC dan memaklumkan ia tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh parti itu berhubung isu penyelewengan undi pada pemilihan CEC dan isu manipulasi undi membabitkan 547 perwakilan.

5 Ogos 2013 –ROS mendedahkan bahawa dakwaan pemimpin Dap yang mereka telah memberi kerjasama penuh kepada ROS adalah tidak tepat kerana sepanjang siasatan mereka sering meminta penundaan tarikh atau memendekkan masa proses siasatan atas alasan sibuk dengan hal politik kepartian mereka.

Puak Dap ini juga sering kali menangguhkan penghantaran maklumat yang diperlukan ataupun tidak menyediakannya walaupun perkara itu telah dinyatakan kepada mereka lebih awal. ROS juga mendedahkan bahawa mereka telah mengambil sikap yang terlalu ‘humanistic’ menguruskan pemimpin Dap walaupun beberapa kali difitnah khususnya sepanjang Pilihan Raya Umum yang lepas atas dasar politik. ROS menyifatkan keengganan Dap mematuhi keputusan ROS sebagai sangat mendukacitakan.

13 September 2013 – Pemilihan semula Jawatankuasa CEC Dap yang dijadual pada 29 September 2013 didakwa tidak mengikut perlembagaan parti dan perlu ditangguh sehingga semua isu berkaitan pemilihannya yang asal selesai – bekas ADUN Teratai, Jenice Lee Ying Haa

29 September 2013 – Pemilihan semula CEC Dap. Liew Chin Tong mendapat undi popular tertinggi sekali iaitu 1,438 undi tetapi beliau tidak dapat memegang jawatan terpenting sekali dalam Dap.

Yang amat memalukan ialah Lim Guan Eng masih memegang jawatan Setiausaha Agung Dap walaupun beliau hanya sekadar di tangga ke-lima sahaja.

4 Disember 2013 – Surat Pendaftar ROS kepada Pengerusi Dap Kedah yang mengatakan bahawa CEC Dap masih belum diiktiraf oleh ROS.

6 Disember 2013 – ROS hantar surat kepada Dap untuk mengemukakan laporan lengkap pemilihan semula CEC termasuk 985 cawangan yang telah diberi status A dan juga salinan asal 500 surat yang ditandatangani oleh perwakilan tidak hadir.

11 Disember 2013 – ROS melaporkan isu CEC akan terus berada dalam kedudukan tergantung sehingga Dap mengemukakan laporan berhubung Kongres Khas dan pemilihan semulanya. Pihak ROS tidak dapat membuat sebarang keputusan tentang kesahihan CEC yang dipilih semula ekoran Dap menghantar laporan tidak lengkap.

18 Februari 2014 – ROS dalam surat yang ditujukan kepada Setiausaha Agung Dap meminta Dap senaraikan 985 cawangan yang diberikan dengan sijil A kerana dokumen itu belum diserahkan kepada ROS. ROS juga meminta parti untuk memberikan senarai penuh semua perwakilan dari 985 sijil A cawangan yang menghadiri pemilihan CEC awal pada 15 Disember 2012 dan pemilihan semula pada 29 Sept 2013.

Dap juga diminta untuk salinan asal 500 surat yang ditandatangani oleh perwakilan yang tidak dapat menghadiri mesyuarat pada 15 Disember 2012.

23 September 2014 – Dap mengambil keputusan untuk tidak meneruskan permohonan semakan kehakiman bagi memaksa ROS supaya mengiktiraf pemilihan semula CEC dalam Kongres Khas parti itu pada 29 September 2013.

27 September 2014 – Wee Choo Keong, bekas Ahli Parlimen Wangsa Maju telah mendedahkan:

a. Semasa pemilihan CEC pada 15 Disember 2012, pihak urus setia Dap mengisytihar jumlah cawangan yang hadir adalah 865 cawangan. Semasa pemilihan semula CEC pada 29 September 2013, pihak urus setia Dap, Ong Kian Meng pula isytihar jumlah cawangan yang hadir adalah 985 cawangan.

b. Ternyata 120 cawangan baharu yang belum didaftar secara sah telah hadir pada pemilihan semula CEC pada 29 September 2013.

3 Oktober 2014 – ROS membuat penafian pernah mengiktiraf pemilihan CEC Dap sebagai sah. ROS turut mempersoalkan dakwaan yang dibuat oleh Dap itu dan tertanya-tanya bagaimana parti tersebut boleh mengeluarkan kenyataan sedemikian kepada mahkamah.

ROS akan menyiasat perkara tersebut seterusnya menjawab isu 120 cawangan Dap tidak mendaftar dan mengundi pada pemilihan semua CEC parti itu.

7 Oktober 2014 – RoketKini mendakwa ROS telah akhirnya tewas dan kononnya ‘mengiktiraf Dap adalah sah’.

19 Oktober 2014 – Anthony Loke mendakwa senarai perwakilan yang layak mengundi dalam pemilihan semula adalah senarai yang sama yang digunapakai dalam pemilihan Kongres Kebangsaan DAP pada 15 Disember 2012.

19 Mac 2015 – Dalam jawapan bertulis kepada Anthony Loke, Menteri Dalam Negeri berkata siasatan ROS terhadap Dap masih berjalan, hal ini kerana jabatan berkenaan masih menerima aduan baharu walaupun pemilihan semula telah diadakan.

9 Julai 2015 – Hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa ROS mempunyai kuasa untuk menyelesaikan pertikaian parti di bawah Seksyen 16 Akta dengan pengecualian mahkamah.

6 Oktober 2015 – ROS menegaskan bahawa status CEC Dap masih belum mendapat pengiktirafan. Ini kerana proses itu masih di peringkat pertimbangan dan siasatan.

29 Oktober 2015 – ROS masih menjalankan siasatan menyeluruh terhadap Dap berikutan pemilihan semula parti itu yang diadakan pada 29 September 2013. Kenyataan ini dibuat oleh DS Ahmad Zahid Hamidi untuk menjawab soalan Loke Siew Fook yang meminta beliau menyatakan status siasatan ROS terhadap Dap.

19 Mei 2016 – DS Ahmad Zahid Hamidi dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat bahawa ROS tidak berpuas hati dengan dokumen yang disediakan oleh Dap. ROS masih menyiasat pemilihan semula kerana ia perlu menganalisis dokumen-dokumen yang dikemukakan oleh Dap. Ini kerana terdapat percanggahan dalam kandungan dan kebenaran dokumen itu.

19 Julai 2016 – Dap tangguh pemilihan CEC yang sepatutnya 29 September, tetapi perlembagaan parti membolehkan pemilihan dalaman itu ditangguhkan sehingga 18 bulan.

26 November 2016 – KDN dan ROS didesak mengumumkan hasil siasatannya terhadap Dap berhubung status terkini parti berkenaan susulan dakwaan berlakunya penyelewengan dan salah guna kuasa dalam pemilihan parti.

23 Mei 2017 – Satu memorandum bagi mendesak ROS memberi surat tunjuk sebab kepada Dap mengapa pendaftaran Dap tidak boleh dibatalkan dan seterusnya membatalkan pendaftaran Dap jika Dap gagal memberi representasi yang memuaskan. Memorandum ini disokong oleh ahli-ahli akademik yang sedang berkhidmat di universiti-universiti tempatan.

7 Julai 2017 – Jabatan ROS akan mengeluarkan arahan meminta Dap mengadakan pemilihan semula CEC kerana pelantikan 20 anggota CEC daripada pemilihan semula pada 29 Sept 2013, adalah tidak sah dari segi undang-undang.

Pemilihan semula itu sepatutnya berdasarkan kepada senarai nama perwakilan yang berhak hadir dan mengundi pada pemilihan CEC Dap bertarikh 15 Dis 2012 yang melibatkan 2,576 perwakilan dari 865 cawangan. – MediaUMNO

  • Infografik