Gurauan Azmin Hanya Berminat Parlimen Pekan Umpama ‘Senjata Makan Tuan’

KUALA LUMPUR, 14 Julai – Bekas Setiausaha PKR Selangor, Mohd Nazmi Rosli yakin dan percaya gurauan Menteri Besar negeri berkenaan yang juga Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dikatakan hanya berminat dengan kerusi Parlimen Pekan sekiranya ingin berpindah kawasan amat dialu-alukan oleh pucuk pimpinan PKR.

Ini kerana katanya jika guraun berkenaan dapat direalisasikan, ianya adalah masa dan waktu terbaik oleh mereka yang tidak sehaluan dengan Timbalan Presiden PKR itu untuk menamatkan riwayat politik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa itu.

“Umum sudah tahu bagaimana kewujudan kem-kem tertentu di dalam parti berkenaan dan saya merasakan ianya tidak akan dihalang oleh pimpinan PKR untuk melihat Azmin bertanding di kawasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana mereka sedar dan tahu implikasinya kelak.

“Sebab itu bak kata pepatahlah…. pucuk dicita ulam mendatang bagi mereka yang tidak sehaluan dengan Azmin dan melihatnya sebagai peluang dan ruang yang terbuka luas untuk melihat Azmin tersungkur sekaligus melenyapkan politik Azmin di dalam parti.

“Bagi saya, guraun berkenaan sebenarnya mengundang padah kerana membuka peluang kepada rakan-rakan pimpinan parti yang tidak sebulu untuk membunuh karier politik Azmin. Seharusnya beliau berhati-hati dalam menjawab soalan wartawan kerana implikasinya amat besar,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Baru-baru ini sebuah portal melaporkan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan nada sinis berkata beliau hanya berminat dengan kerusi Parlimen Pekan yang kini disandang oleh Datuk Seri Najib Tun Razak, jika mahu bertanding.

Tegasnya, beliau tidak berminat dengan kerusi Parlimen Ampang seperti yang diperkatakan sebelum ini.

“Saya dah sebut hari tu saya tak minat dengan Ampang. Kalau perlu saya beralih, saya minat dengan Pekan,” katanya.

Nazmi seterusnya menambah apa yang diperkatakan oleh Azmin dalam perkara tersebut hanya ingin memaparkan kononnya beliau tidak menguasai parti terbabit memandangkan beberapa pihak sebelum ini mengatakan beliau berminat dengan kawasan Ampang.

“Daripada satu sudat lain saya nampak begitulah… beliau ingin tunjukkan tidak menguasai parti dengan memberikan ‘hint‘ sedemikian rupa. Lagi pula secara logik takkanlah beliau mahu menamatkan karier politiknya sendiri.

“Namun jawapannya itu seperti mana yang diperkatakan tadi, ianya mengundang parah kerana sudah tentulah umpama pepatah yang menyebut… kecil tapak tangan nyiru kami tadahkan oleh musuh-musuh Azmin di dalam PKR itu sendiri,” ujarnya.-MediaUMNO

  • Infografik