Takkan Dap Tiada Maruah Diri Untuk Jadi Pengemis Logo Rakan Sekutu Pada PRU-14 – PAP

KUALA LUMPUR, 12 Julai – Naib Presiden Parti Alternatif Rakyat (PAP), Rahmad Isahak berkata, Dap tidak ada pilihan kedua selain mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) atau terpaksa mengemis simpati rakan kongsi untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Jelas beliau, sekiranya Dap masih gagal mengadakan pemilihan semula CEC maka berkemungkinan besar calon mereka hilang kelayakan untuk bertanding pada PRU kelak.

“Dap tidak ada talian hayat lain selain mengadakan pemilihan semula CEC jika tidak mahu tebal muka mengemis simpati rakan kongsi dalam Pakatan Harapan bagi terus bertanding pad PRU nanti dan saya tidak merasakan Dap akan meletakkan harga diri mereka serendah itu semata-mata demi politik.

“ Memang jelas dapat dilihat sekarang ini mereka cuba mempolitikkan isu ini walaupun kesalahan berpunca daripada parti Dap sendiri namun undang-undang tetap undang-undang.

“Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) telahpun mengeluarkan arahan jadi apa lagi pilihan yang Dap ada. Walaupun empat tahun telah berlalu dek kerana kelembutan ROS tetapi Dap hanya mengambil kesempatan dan tidak membetulkan kesilapan yang telah berlaku,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Tambah Rahmad, jika kepimpinan Dap bersikap serius serta profesional demi menjaga maruah parti dan ahlinya sepatutnya Dap telah memohon satu perintah mahkamah dari dahulu lagi bagi memaksa ROS membuat keputusan segera dan bukannya berterusan mencabul serta memperlekehkan undang-undang di bawah Akta Ros 1966.

“Seharusnya Dap bersyukur kerana ROS tidak bercadang untuk mengharamkan parti mereka walaupun itu dalam bidang kuasa ROS namun dari sudut kewajaran, watikah calon yang tidak sah sudah dipertikaikan semenjak PRU-13 lagi.

“Kerana itulah rakyat mempersoalkan mengenai status kemenangan wakil rakyat Dap yang menggunakan watikah yang tidak sah yang lebih menjurus kepada status wakil rakyat bebas dan jika ianya relevan dari sudut perundangan sehingga pemilihan semula diadakan serta mendapatkan pengiktirafan daripada pihak ROS, ini bermakna kerajaan negeri Pulau Pinang kini ini sebenarnya sedang diterajui oleh wakil rakyat bebas dan bukannya oleh Dap,” katanya lagi. –MediaUMNO 

  • Infografik