Dakwaan Isu Campur Tangan Luar Untuk Tutup Isu 1MDB : Dakwaan Dangkal, Bermotifkan Politik

KUALA LUMPUR, 10 Julai – Seorang pensyarah, Prof Madya Dr Hanafiah Harun berkata, dakwaan pihak pembangkang bahawa kerajaan cuba memainkan isu campur tangan luar negara hanya untuk menutup isu 1MDB merupakan satu dakwaan yang dangkal dan hanya bermotifkan politik semata-mata.

Menurut beliau,  isu campur tangan luar terutamanya dalam hal-hal politik dalaman negara ini bukanlah sekadar isu yang dibuat-buat, tetapi ia adalah berdasarkan fakta-fakta apa yang berlaku, terutamanya serangan pihak tertentu daripada luar dalam isu 1MDB yang dilihat begitu ketara mempunyai agenda untuk menjatuhkan kepimpinan negara.

“Dalam isu 1MDB, kerajaan tidak nafikan bahawa ada berlakunya salah urus tadbir, namun ia tidak ada kena mengena dengan Datuk Seri Najib Tun Razak, seperti mana dakwaan awal Sarawak Report yang menuduh Perdana Menteri terlibat dalam siri penyelewengan tersebut.

“Dalam menjawab tuduhan tersebut, maka kita lihat bagaimana kerajaan mengambil inisiatif untuk mengadakan siasatan dalaman terhadap 1MDB oleh PAC dan ini membuktikan bahawa Perdana Menteri dan kerajaan amat terbuka dalam hal ini.

“Dan siasatan yang dibuat oleh PAC, yang juga dianggotai oleh pemimpin pembangkang telah mengakui bahawa Datuk Seri Najib tidak terlibat langsung dalam sebarang salah guna kuasa dan penyelewengan yang berlaku di dalam syarikat milik kerajaan itu.

“Bahkan Sarawak Report juga akhirnya mengakui bahawa dana RM2.6 yang dituduh mereka diselewengkan oleh Datuk Seri Najib daripada 1MDB itu, sebenarnya adalah dana derma daripada keluarga di Raja Arab Saudi. Jadi dengan sendirinya tuduhan terhadap Datuk Seri Najib itu adalah tidak benar,” tegasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Sebaliknya kata beliau, dakwaan pembangkang tentang isu campur tangan luar yang  dimainkan pembangkang ini mungkin sebagai persediaan awal pembangkang bagi menutup penglibatan mereka sendiri dengan pihak luar yang mahu mencampuri  urusan dalam politik negara.

“Rakyat juga pastinya ingin tahu bagaimana dakwaan terhadap Dap yang dikatakan menerima dana daripada negara Israel pada pru ke 13 dulu? Sehingga kini tidak ada jawapan yang konkrit dan meyakinkan daripada pihak kepimpinan pembangkang, khususnya kepimpinan Dap terhadap dakwaan tersebut.

“Malah, pemimpin Dap, Lim Kit Siang yang membuat kenyataan kononnya mahu menyaman Razali Abdul Rahman,bekas pengawai khas Lim Guan Eng yang membuat tuduhan ini, sehingga ke hari ini belum memfailkan samannya terhadap Razali. Jika mereka tidak buat perkara itu, mengapa Dap takut mahu saman Razali?

“Jadi dakwaan terhadap Dap tentang dana RM 1.2 bilion itu juga merupakan satu isu campur tangan luar. Adakah sekiranya pemimpin UMNO atau BN membangkitkan isu tersebut, adakah ianya juga bertujuan untuk menutup isu 1MDB?

“Jadi, saya lihat pembangkang sengaja memainkan isu ini kerana mereka mahu rakyat anggap apabila pihak UMNO dan BN membangkitkan isu campur tangan luar ini, ia adalah alasan kerajaan untuk menutup isu 1MDB.

“Jadi secara tidak langsung, mereka akan terselamat apabila ada kepimpinan UMNO atau BN yang mengungkit isu keterlibatan mereka dalam meminta campur tangan asing dalam politik negara seperti dana RM 1.2 bilion dari Israel, hubungan  pemimpin pembangkang dengan Sarawak Report dan lain-lain lagi,” tegasnya.- MediaUMNO

  • Infografik