Dap Mula Serang Halus PPBM, PAN… Kecewa Parti Tunggangan Mereka Gagal Tarik Sokongan Melayu

KUALA LUMPUR, 7 Julai – Dap dilihat mula tidak berpuas hati dengan dua parti baru pembangkang, PPBM dan juga PAN yang dilihat tidak memberi banyak kesan  kepada agenda Dap untuk menarik pengaruh pengundi Melayu untuk memberi sokongan kepada pakatan harapan.

Demikian pandangan Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo di mana menurutnya lagi, Dap juga sudah mula menyerang secara halus kedua-dua parti tersebut sebagai manifestasi ketidak puasan hati mereka terhadap peranan kedua-dua parti itu untuk menarik sokongan orang Melayu.

“Kita boleh lihat dengan jelas sikap Dap terhadap PPBM contohnya, tidak selembut dulu. Jika dulu, mereka lihat kehadiran PPBM yang dikepalai oleh Tun Mahathir itu mampu untuk menarik sokongan besar pengundi Melayu, namun ternyata ramalan mereka itu meleset.

“PPBM bukan saja tidak mampu untuk menarik pengundi Melayu secara luar biasa, malah parti yang baru setahun jagung itu juga dilanda isu perebutan jawatan sehingga menyebabkan ahli-ahli dan kepimpinan PPBM di beberapa negeri keluar beramai-ramai dari parti tersebut. Bahkan daripada sumber dalaman PPBM, hubungan Tun Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin sudah tidak semesra dulu.

“Malah, kini PPBM pula sibuk mencanangkan kepimpinannya seperti Tun Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin untuk mengepalai Pakatan Harapan dan juga sebagai Perdana Menteri. Perkara ini sudah tentu menimbulkan rasa tidak senang hati di kalangan pemimpin pakatan pembangkang,” jelasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Sementara itu, Dap juga kata beliau melihat penubuhan PAN tidak mencapai matlamat apabila parti itu lebih tertumpu untuk berkonfrontasi dengan Pas, dan gagal untuk menarik lebih ramai ahli-ahli dan penyokong Pas untuk menyertai parti tersebut.

“Kita perlu ingat, Dap merupakan dalang kepada penubuhan PAN. Selepas bercerai talak tiga dengan Pas, Dap perlukan sebuah parti Melayu berwajah Islam untuk menggantikan Pas dalam usaha mereka untuk menarik sokongan orang Melayu. Maka sebab itulah tertubuhnya PAN.

“Namun setelah dua tahun kewujudan parti itu, PAN ternyata gagal dalam usahanya untuk menarik lebih ramai ahli dan penyokong Pas untuk menyertai parti tersebut, termasuk menyokong pakatan harapan.

“Kepimpinan PAN lebih banyak fokus untuk berseteru dengan parti Pas menyebabkan mereka hilang fokus untuk mempengaruhi pengundi Melayu termasuk ahli dan penyokong Pas itu sendiri. Perkara ini juga pastinya telah menimbulkan kebimbangan kepada kepimpinan Dap memandangkan mereka menghabiskan masa, tenaga dan wang ringgit untuk mewujudkan PAN,” ujarnya.

Justeru itu katanya, pengundi di negara ini harus berfikir dengan waras dan rasional berhubung pakatan parti politik mana yang mahu mereka berikan kuasa untuk terus mentadbir negara ini.

“Kita semua sedia maklum bahawa PRU ke 14 sudah hampir. Pengundi perlu memberikan undi mereka kepada parti yang mampu untuk terus membawa negara kepada kemakmuran ekonomi, perpaduan dan keharmonian yang lebih baik untuk negara pada masa akan datang. Untuk itu, kita perlukan sebuah pakatan parti politik yang stabil seperti Barisan Nasional.

“Pakatan Harapan yang sehingga kini masih belum berdaftar, jelas tidak stabil. Baik dari sudut hubungan antara parti, mahupun dari sudut dalaman parti.  Terlalu banyak isu yang masih tergantung dan tidak selesai yang menyebabkan mereka akhirnya bertelagah sesama sendiri.

“Senario masalah dalaman politik pakatan harapan hari ini semakin kronik dan nampak seperti tidak mampu diselesaikan. Sekira mereka diberikan kuasa dalam keadaan mereka sendiri tidak stabil, ianya  tidak akan mendatangkan apa-apa kebaikan kepada rakyat dan juga negara,” tegasnya.-MediaUMNO

  • Infografik