Jadikan Persidangan Bahagian Untuk Perkukuh Solidariti, Perkuatkan Parti Hadapi PRU14

KUALA LUMPUR, 6 Julai – Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jasin, Imannuddin Tan Sri Aziz menyifatkan perjuangan selama 71 tahun UMNO telah melalui pelbagai liku dan krisis termasuk penubuhan parti baru dan serpihan, namun tetap kekal bertahan sehingga ke hari ini kerana ahlinya diikat oleh semangat perjuangan untuk memelihara agama, bangsa dan tanah air.

Sehubungan dengan itu katanya Persidangan UMNO di peringkat Bahagian yang telah bermula minggu ini disifatkan medan terbaik untuk semua ahli meningkatkan lagi  solidariti di samping mengeratkan hubungan sesama ahli-ahli UMNO.

“Apatah lagi menjelang Pilihan Raya Umum yang ke-14, solidariti sesama ahli parti dan juga pelbagai peringkat kepimpinan menjadi penawar dan juga menjadi asas yang perlu disemat di dalam sanubari masing-masing.

“Jadikan ulangtahun ke-71 baru-baru ini termasuk tanggungjawab kita dalam Persidangan UMNO peringkat Bahagian ini sebagai momentum untuk bergerak dan melangkah dengan lebih yakin untuk bersama-sama mempertahankan UMNO agar ianya terus menjadi wadah yang terbaik untuk rakyat,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Tambahnya, PRU14 adalah perjuangan ‘hidup atau mati’ bagi UMNO berikutan serangan demi serangan yang dihadapi parti itu pada masa ini.

“Kita tidak boleh memandang ringan akan serangan itu kerana ia tidak hanya datang dari musuh tradisi UMNO malah daripada bekas-bekas rakan seperjuangan dalam UMNO sendiri.

“PRU akan datang merupakan PRU paling sengit dan akan menjadi penentu hidup matinya UMNO dan kita perlu pertahankan parti ini lebih-lebih lagi pada saat ini, di mana kita berhadapan dengan cabaran yang berterusan.

“Jika kita gagal membuat perancangan dan tidak bersiap sedia menghadapi PRU dari sekarang, maka kita mesti bersedia menghadapi segala kemungkinan termasuk kehilangan kuasa,” ujarnya lagi. -MediaUMNO

  • Infografik