Sudah Masuk Minggu Kedua Syawal… Apa Sudah Jadi Dengan Pendaftaran Pakatan Harapan?

KUALA LUMPUR, 5  Julai – Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Zein Isma Ismail mempersoalkan apakah parti-parti pembangkang sudah menghantar permohonan untuk mendaftarkan pakatan mereka itu kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebelum menjelang  1 Syawal  seperti mana yang diwar-warkan pemimpin mereka sebelum ini.

Kata beliau, rakyat ingin tahu apakah pakatan pembangkang sudah menghantar permohonan mereka yang sepatutnya dihantar sebelum raya kepada ROS.

“Menurut kenyataan mereka, pakatan pembangkang akan mendaftarkan pakatan mereka selewat-lewatnya sebelum raya ini. Mungkin mereka mahu menyambut hari raya dengan satu pakatan pembangkang berdaftar yang baru.

“Tapi sehingga ke hari ini, sudah masuk minggu kedua di bulan Syawal, kita lihat tidak ada sebarang kenyataan daripada mereka berhubung perkara tersebut. Jika ianya masih tidak dihantar, maka bagi saya mungkin kenyataan itu dibuat hanyalah sekadar untuk menyedapkan hati para penyokong mereka untuk menutup segala permasalahan dalaman yang tidak dapat diselesaikan sehingga ke hari ini”, katanya kepada UMNO-Online di sini, hari ini.

Bagaimana pun berdasarkan senario politik pembangkang, beliau yakin mereka menghadapi kesukaran untuk mendaftarkan pakatan pembangkang itu kerana masalah-masalah dalaman yang mereka hadapi.

“Isu pembahagian kerusi, isu siapa yang patut jadi PM dan TPM, isu siapa yang patut jadi pengerusi kepada pakatan pembangkang yang baru dan beberapa isu lain lagi sehingga hari ini masih gagal mereka selesaikan,” jelasnya.

Justeru bagi menutup kepincangan dan kehuru haraan yang berlaku di dalam parti pembangkang menurut Zein lagi, pembangkang kini terpaksa memainkan isu kitar semula seperti isu-isu DOJ, isu 2.6 bilion, isu 1MDB untuk mengalih perhatian rakyat dan penyokong mereka, daripada permasalahan yang sedang berlaku di dalam pakatan pembangkang.

“Sebab itu kita tengok sekarang pembangkang kembali memainkan isu-isu kitar semula seperti DOJ, isu 1MDB yang mana isu ini telah dijelaskan berkali-kali oleh kerajaan. Bahkan pembangkang terus mengulang-ulang isu 1MDB dengan terus mengaitkan Datuk Seri Najib walaupun isu 1MDB ini telah selesai dan PAC sendiri menegaskan bahawa Datuk Seri Najib tiada kaitan dengan penyelewengan yang berlaku.

“Semua isu-isu kitar semula ini bagi saya adalah satu taktik pembangkang untuk mengalih perhatian rakyat daripada isu masalah dalaman mereka yang sehingga ke hari ini tidak dapat diselesaikan. Mereka sedaya upaya menyembunyikan masalah dalaman mereka yang semakin kronik dan membusuk daripada pengetahuan rakyat,” tegasnya.

Oleh itu, beliau menyeru rakyat agar tidak lagi terpengaruh dengan propaganda pembangkang yang berterusan memburukkan kepimpinan negara demi untuk menutup kelemahan dan kegagalan mereka.

“Mereka hanya ada empat parti, tetapi mereka tidak mampu nak selesaikan masalahan dalaman yang berlaku sesama mereka. Masing-masing cuba nak jadi hero, tetapi dalam masa yang sama tindakan tersebut telah menyebabkan masalah dalaman pembangkang menjadi semakin kronik.

“Berbeza dengan BN yang mempunyai 14 parti di dalamnya, dan sehingga ke hari ini Alhamdulillah masih stabil dan segala permasalahan dapat diselesaikan dengan cara muafakat dan toleransi.

“Inilah bezanya kepimpinan BN yang lebih matang, rasional serta berpengalaman dalam mengurus tadbir baik parti atau pun negara, berbanding dengan kepimpinan pembangkang yang emosional dan lebih mementingkan agenda kepartian masing-masing,” ujarnya.-MediaUMNO

  • Infografik