Inilah Cara Politik Paling Keji Yang Digunakan DAP (Bahagian 1)

Politik yang diamalkan pembangkang sebenarnya cukup keji untuk di sebut satu persatu. Ada sahaja usaha mereka untuk menjatuhkan kerajaan sedangkan hak memilih terletak di tangan rakyat yang diberi tugas 5 tahun sekali untuk menentukan sesebuah kerajaan. Namun bagi pembangkang, tidak kira bila sekalipun, kerajaan wajar di jatuhkan.

Ketika berpeluang untuk bersua dengan seorang pegawai kepada salah seorang pemimpin tertinggi MCA yang tidak membenarkan namanya disiarkan, beliau mengakui, politik yang diamalkan oleh pembangkang terutamanya DAP, cukup keji dan terlalu bahaya dalam konteks masyarakat majmuk di negara ini.

Ketika mengimbau semula peranan besar DAP dalam politik pembangkang, beliau menyatakan, gerakan yang dilakukan oleh DAP sebenarnya berperingkat-peringkat dan digerakkan dengan cara yang cukup halus dan teratur.

Lihat sahaja bagaimana Lim Kit Siang cuba mewujudkan persefahaman pertama dengan beberapa parti pembangkang di Malaysia terutamanya PAS. Pada ketika itu, DAP secara tidak sedar cuba mempergunakan PAS untuk menyucikan parti berkenaan yang dikenali sebagai parti ultra kiasu pada pandangan kaum Melayu.

Pada masa yang sama, DAP cuba mempengaruhi pengundi kaum Cina untuk menyebelahi mereka pada sekitar 1998. DAP sedar, pada ketika itu, sukar untuk mengalihkan sokongan kaum Cina terhadap MCA dan oleh yang demikian, PAS ditugaskan untuk mempengaruhi undi kaum Melayu.

Namun begitu, usaha yang digerakkan DAP ini nampaknya menemui kegagalan. Oleh yang demikian, pada 2003, DAP menggerakkan satu lagi gerakan bersama-sama PKR dan PAS dengan tujuan yang sama. Kali ini, DAP mempergunakan sehabis baik sentimen Anwar untuk mendapatkan sokongan di kalangan rakyat.

Usaha ini sekali lagi menampakkan kegagalan apabila pada ketika itu, pengaruh dan cara yang dibawa oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi cukup memikat hati rakyat. Baik Lim Kit Siang mahupun Anwar, mereka kehilangan cara untuk memburukkan kerajaan sehingga Barisan Nasional mampu meraih kemenangan terbesar dalam dekad yang lepas.

Melihat kepada kegagalan Barisan Alternatif memporak perandakan kecenderungan undi rakyat kepada Barisan Nasional, DAP menggunakan cara lain pula. Kali ini menerusi Pakatan Rakyat, DAP mempergunakan Anwar untuk memecah belahkan kaum di Malaysia. Antaranya adalah mewujudkan saling tidak mempercayai antara kaum di negara ini.

Maka bermulalah corak politik keji di Malaysia. Umum sedia maklum bahawa Malaysia di diami oleh pelbagai kaum dan etnik serta berlainan budaya dan agama. DAP melihat, ini adalah salah satu cara untuk mereka mengganggu gugah ketenteraman kaum dan mereka memerlukan seorang “balaci” yang mampu merealisasikan impian mereka.

Justeru, bukan satu perkara yang menghairankan apabila Anwar dipilih untuk menggerakkan perpecahan antara kaum ini. Bukankah ini satu gerakan yang cukup bahaya? Lihat sahaja bagaimana Anwar memainkan peranannya pada Himpunan BERSIH yang pertama pada 2007. Pada ketika itu, sudah mula wujud bibit perpecahan antara kaum Melayu dan Cina di negara ini.

Hasilnya, pada 2008, Pakatan Rakyat berjaya mengurangkan kerusi yang dimenangi oleh Barisan Nasional apabila rentak undi kaum Cina beralih pada DAP dengan propaganda yang menyatakan, kaum Melayu menjadikan kaum Cina sebagai bangsa kelas kedua di negara ini. Akibat pengurangan kerusi ini, Tun Abdullah memikul tanggungjawab dan meletakkan jawatan pada 2009.

Sebaik sahaja Tun Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan dan digantikan pula dengan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, antara langkah pertama yang dilakukan oleh pembangkang khususnya DAP adalah mendesak Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan. Mereka juga mendesak hak kebebasan bersuara dilaksanakan di Malaysia.

Melihat kepada desakan ini, setelah mengambil kira pelbagai aspek, kerajaan akhirnya bersetuju untuk memansuhkan ISA, membenarkan perhimpunan aman dengan permit dan hak kebebasan bersuara di laksanakan. Namun, kebaikan kerajaan ini dibayar dengan harga yang cukup mahal.

Semasa Pilihan Raya Umum ke 13, DAP meneruskan agenda menghasut ketidak percayaan antara kaum di negara ini. Dalam hal ini, Datuk Seri Anwar di berikan tugas khas untuk menyalakan impian DAP untuk melaksanakan Malaysia Malaysian. Malah, DAP juga semakin kuat menghasut kaum Cina untuk menolak siapa sahaja calon yang dikemukakan oleh MCA mahupun Gerakan.

Antara hasutan yang cukup popular sehingga hari ini adalah tuduhan MCA gagal membela nasib kaum Cina di negara ini. Malah DAP juga mendakwa, MCA akan terus meletakkan kaum Cina sebagai bangsa nombor dua dibelakang kaum Melayu. Terpengaruh dengan hasutan ini, berlakulah apa yang dipanggil sebagai “tsunami Cina” pada 2013.

Menyedari kemampuan mereka untuk menyemai rasa benci diantara kaum di negara ini disamping kejayaan mereka hampir melumpuhkan penguasaan MCA selaku parti komponen utama Barisan Nasional, DAP memulakan satu lagi langkah yang tiada siapa pun berani untuk sentuh sejak merdeka lagi.

Kali ini, DAP mula berani mempertikaikan kuasa Raja-Raja Melayu dan sudah mula berani mencampuri urusan umat Islam. Manakan tidak, majoriti kerusi yang berjaya mereka menangi adalah di kawasan bandar yang mana di kawasan inilah menjadi lubuk ekonomi sesebuah tempat.

Lihat sahaja bagaimana BERSIH menggerakkan tenaga kerjanya. Sejak dari dahulu, antara warna rasmi DiRaja adalah warna kuning yang tidak pernah di pakai oleh mana-mana NGO sejak merdeka. Namun, BERSIH memecahkan tradisi ini di mana kesemua pemimpin yang ada di belakang BERSIH terdiri daripada pemimpin tertinggi DAP.

Lebih hebat lagi, mereka juga sudah berani menghalang laungan azan dikumandangkan hanya dengan alasan, mengganggu tidur mereka. Bagi kaum Cina pula, mereka sudah mula menghasut kononnya, Malaysia adalah milik mereka kerana kuasa ekonomi sememangnya dipegang oleh kaum Cina.

Dakyah terbaru pula menyatakan, andai Malaysia berjaya ditawan DAP, Malaysia akan bergabung dengan Singapura dengan janji bahawa ekonomi kaum Cina akan diperkukuhkan. Pada masa yang sama, mereka terus menekan MCA dengan pelbagai fitnah antaranya dakwaan bahawa MCA adalah sebuah parti Cina yang akan pro DAP sekiranya berlaku Pilihan Raya Umum.

Amat malang sekali apabila dakyah DAP ini telah berjaya mempengaruhi pengundi kaum Melayu. Kepercayaan bahawa MCA adalah ejen DAP di dalam Barisan Nasional sudah mula berkembang biak sehingga ada yang akan menolak sesiapa sahaja calon MCA pada Pilihan Raya Umum ke 14 kelak.

Bersambung…

blusamurai

  • Infografik