Terengganu Agih Bonus Kepada Guru Khidmat Masyarakat, Pintar Al Quran

KUALA TERENGGANU, 19 Jun – Kerajaan Terengganu hari ini mengagihkan bonus berjumlah RM765,000 kepada 1,532 guru khidmat masyarakat dan 190 guru pintar al-Quran di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Tugas-tugas Khas negeri, Ghazali Taib berkata pemberian bonus kepada golongan berkenaan memasuki tahun ketiga, dan pada tahun ini jumlahnya lebih tinggi sebanyak RM500 seorang berbanding RM200 sebelum ini.

“Pemberian bonus ini diharap dapat meningkatkan lagi motivasi guru khidmat masyarakat dan guru pintar al-Quran untuk terus menabur bakti dengan lebih cemerlang pada masa akan datang.

“Pada masa sama, ia diharap dapat mengurangkan beban kewangan mereka dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Apresiasi Gema Wahyu dan bayaran bonus guru khidmat masyarakat serta guru pintar al-Quran di sini hari ini.

Pada majlis itu, 1,055 guru khidmat masyarakat yang bertugas lebih 10 tahun menerima bonus RM500, manakala 477 guru yang berkhidmat selama sembilan tahun dan ke bawah menerima RM300.

Pada majlis itu juga, kerajaan negeri menyampaikan sumbangan penghargaan kepada lapan qari dan qariah yang pernah mengharumkan nama Terengganu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa melalui Anugerah Gema Wahyu.

Kelapan-lapan mereka menerima saguhati RM2,000 seorang, sijil penghargaan dan plak anugerah.

Penerima Anugerah Gema Wahyu, Datuk Rogayah Sulong, 75, berkata beliau sangat terharu dengan keprihatinan kerajaan negeri terhadap qari dan qariah kelahiran Terengganu yang menerima banyak pengiktirafan setakat ini.

“Semoga lebih ramai anak muda Terengganu mendalami al-Quran dan mengharumkan nama negeri di serata dunia melalui musabaqah al-Quran,” katanya yang mempunyai ribuan anak murid di Terengganu dan Batu Pahat, Johor.

Bagi Ahmad Tirmizi Ali, 31, pula penghargaan diberi kerajaan negeri itu menguatkan lagi keazamannya untuk terus menabur bakti kepada masyarakat dalam mempelajari dan mendalami kitab suci itu.

“Pelajarilah al-Quran secara berterusan dengan istiqamah kerana ia akan menyelamatkan hidup kita dunia dan akhirat,” katanya yang kini aktif berdakwah di seluruh Malaysia.

  • Infografik