Semua Mahu Rebut Jawatan Tinggi.. Kemelut Perang Kuasa Dalam Pakatan Pembangkang Makin Kronik

KUALA LUMPUR, 19 Jun – Presiden Alumni Kelab UMNO Luar Negara, Wan Md Hazlyn Agyl menyifatkan isu perebutan jawatan-jawatan tertinggi dalam pakatan harapan yang sedang berlaku secara tidak langsung membuktikan bahawa parti-parti pembangkang di dalam pakatan kini dilanda sindrom gila kuasa, apabila masing-masing bertegas mahukan calon yang mempunyai kepentingan terhadap agenda politik kepartian dan peribadi mereka.

Menurut beliau, isu siapa yang layak menjadi PM pakatan harapan ini secara tidak disedari telah membuka pekong parti-parti pembangkang di mana hari ini, apabila isu jawatan tertinggi bagi pakatan harapan ini telah mula menjadi perbalahan dan pertikaian sesama mereka.

“Dalam isu calon PM pakatan harapan ini, pembangkang kita lihat masih lagi tidak dapat mencapai kata putus dalam soal ini. PKR mahukan Anwar Ibrahim atau Wan Azizah sebagai calon Perdana Menteri. PPBM pula mahukan Tun Mahathir kembali menjadi perdana menteri.

“Dap pula, mereka menyatakan sokongan terhadap Wan Azizah sebagai calon perdana menteri tetapi dalam masa yang sama mereka tidak membantah dan membiarkan saja salah seorang pemimpin mereka, Zaid Ibrahim melobi nama Tun Mahathir sebagai calon Perdana Menteri.

“Isu ini ternyata memperlihatkan betapa celarunya dan betapa tidak sepakatnya parti-parti pembangkang di dalam pakatan harapan ini. Masing-masing mempunyai agenda kepartian tersendiri dan perkara ini tidak dapat dinafikan merupakan sebab utama timbulnya syak wasangka dan salah faham sesama mereka sendiri, yang akhirnya boleh menjurus kepada perpecahan sepertimana yang berlaku sebelum ini,” jelasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Tambah beliau, belum pun selesai isu siapa layak menjadi perdana menteri, timbul pula isu tentang jawatan pengerusi pakatan harapan yang mana, cadangan PPBM yang mahukan Tun Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin menjadi pengerusi dan presiden pakatan itu telah ditolak mentah-mentah oleh Dap.

“Bagi saya cadangan PPBM itu tersebut menyerlahkan hasrat parti tersebut untuk menguasai jawatan-jawatan tertinggi dalam pakatan harapan, biarpun parti itu masih berusia setahun jagung jika mahu dibandingkan dengan parti-parti lain di dalam pakatan pembangkang.

“Cadangan tersebut dianggap sebagai satu monopoli oleh Lim Guan Eng dan beliau secara lantang membuat kenyataan menolak cadangan tersebut. Bahkan, PKR juga turut menafikan bahawa parti itu telah bersetuju untuk meletakkan Tun Mahathir sebagai pengerusi pakatan harapan manakala Wan Azizah pula sebagai presiden gabungan tersebut.

“Apa yang berlaku ini dengan jelas menggambarkan bahawa kini sedang berlakunya perebutan jawatan dan lobi melobi di dalam blok parti pembangkang dalam usaha mereka untuk menaikkan pemimpin yang berkepentingan kepada parti masing-masing.

“Bagi saya, isu perebutan jawatan tertinggi ini dengan jelas menggambarkan bahawa parti-parti pembangkang di dalam pakatan harapan hari ini sudah mula gila untuk berkuasa dengan melobi calon parti atau pun pemimpin tertentu yang mempunyai kepentingan bagi parti tertentu untuk jawatan-jawatan tertinggi dalam pakatan mereka itu,”tegasnya.

Justeru itu, beliau menyeru rakyat supaya tidak memperjudikan masa depan negara dengan memberikan kuasa kepada parti-parti yang tidak stabil, tidak mampu menyelesaikan masalah, serta tidak mempunyai satu matlamat serta kerjasama yang utuh demi untuk membina sebuah negara yang lebih maju dan berjaya.

“Berdasarkan senario politik yang berlaku di dalam pakatan pembangkang hari ini, jelas bahawa mereka masih tidak mampu dan tidak layak untuk mentadbir negara, memandangkan mereka sendiri tidak mampu untuk menyelesaikan masalah dalaman mereka sendiri, bahkan ianya semakin lama semakin kalut dan caca merba.

“Kita bimbang jika mereka ini diberikan kuasa pada PRU ke 14 ini, maka konflik dalaman antara mereka yang dilihat hampir mustahil untuk diselesaikan itu akan mengheret negara ke kancah ketidakstabilan politik, di mana jika ianya berlaku, sudah pasti akan memberikan kesan kepada pertumbuhan ekonomi serta pembangunan negara. Dan apa yang pastinya, sudah tentu rakyat itu sendiri akan menanggung akibatnya,”

“Dan ada kemungkinan juga apa yang berlaku di dalam parti pembangkang itu adalah sekadar wayang politik. Kepada ahli-ahli, jentera dan juga kepimpinan UMNO di peringkat akar umbi, pedulikan pembangkang yang kacau bilau, fokus kepada gerak kerja rakyat. Rakyat hari ini perlukan kerajaan dan parti yang stabil. Dan itulah yang UMNO mampu berikan kepada rakyat,”ujarnya.-MediaUMNO

  • Infografik