Sampai Bila Guan Eng Mampu Jadi Muka Tembok? – Azrinizam

KUALA LUMPUR, 19 Jun –  Presiden Aktivis Belia Tanah Air (ABATA), Azrinizam Ibrahim berkata, sampai bila Setiausaha Agung Dap yang belum disahkan jawatan Lim Guan Eng mahu menjadi muka tembok, terus memekakkan telinga dengan tidak menjawab pelbagai persoalan yang dilemparkan kepadanya.

Jelas beliau, terlalu banyak persoalan yang dituntut oleh rakyat kepada Dap namun sehingga kini Ketua Menteri Pulau Pinang itu terus mengunci mulut, jika menjawab pun hanyalah dengan meletakkan kembali kesalahan kepada pihak lain.

“Dari dulu sikap Guan Eng memang tidak menjawab persoalan… lain yang ditanya lain pula yang dijawab. Ini situasi putar belit Guan Eng yang berlaku sejak dahulu termasuklah di awal skandal pembelian banglo di jalan Pinhorn terbongkar.

“Guan Eng tidak jawab kenapa dan bagaimana dia boleh beli banglo mewah itu di bawah harga pasaran tetapi cara menjawabnya adalah dengan mengajak pihak media datang ke rumahnya dan minum kopi selain memberi alasan tiada kolam renang.

“Begitu juga ketika ditanya mengapa banjir di negeri itu tidak boleh diselesaikan dalam masa sembilan bulan seperti yang dijanjikan… jawapan yang diberi Guan Eng adalah kerajaan pusat tidak beri duit namun bila sudah dapat RM150 juta, masalah banjir tidak selesai juga,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Tambah Azrinizam, bukan itu sahaja, kira-kira beberapa minggu lalu ketika Guan Eng ditanya tentang status 51 projek yang gagal dilaksanakan di Pulau Pinang, dia menggunakan pihak lain untuk memberikan jawapan dengan meletakkan kesalahan kepada Barisan Nasional (BN).

“Persoalan yang dilemparkan oleh Pasukan Komunikasi Strategik BN kepada Guan Eng juga tidak dijawab sedangkan ia hanya memerlukan jawapan ia atau tidak sahaja.

“Begitu juga persoalan berkaitan rumah kos rendah dan mampu milik.. Itu belum lagi jawapan yang dituntut tentang isu kos pembinaan terowong dasar laut yang telah menelan belanja begitu besar namun hasilnya langsung tiada.

“Guan Eng perlu menjadi seorang yang lebih profesional selaras dengan jawatan yang disandangnya. Jika pembangkang sering mendesak kerajaan pimpinan BN menjawab pelbagai tohmahan yang dilemparkan maka kenapa bila terkena batang hidung sendiri, Dap tidak berani menjawab,” bidas Azrinizam.

Justeru, Guan Eng sepatutnya malu kepada rakyat Pulau Pinang kerana segala putar belitnya kini telah diketahui umum. – MediaUMNO

  • Infografik