Pengadu DOJ Berniat Jahat, Desperado – Senator Fahariyah

KUALA LUMPUR, 19 Jun – Senator Dewan Negara, Datuk Fahariyah Md Nordin berkata, individu yang membuat laporan kepada Jabatan Keadilan (DoJ) berkaitan dakwaan kononnya ada penyelewengan daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebenarnya adalah seorang penghasut atau pengadu yang mempunyai niat jahat untuk menganggu-gugat pentadbiran negara.

Jelas beliau, tindakan tersebut didorong atau dihasut pihak tertentu yang cemburu dengan keamanan dan kemakmuran dikecapi negara.

“Bagi saya ini adalah sikap terdesak pihak tertentu yang amat desperado bagi merosakkan imej kepimpinan negara.

“Mereka sudah tidak ada isu maka isu lama dikitar semula untuk mengalih perhatian rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online di sini, hari ini.

Selain itu tambah Fahariyah yang juga merupakan Penolong Setiausaha Pergerakan Puteri UMNO, reputasi DOJ sebenarnya semakin terjejas dan menjadi bahan jenaka dipersada dunia kerana dakwaan terbaharu mereka berkait isu ini tidak berasaskan fakta dan tidak dibuktikan di mahkamah terlebih dahulu.

“Ini kerana Malaysia melalui Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) sudahpun menjalankan siasatan terperinci dan tidak menemui sebarang bukti dana diseleweng 1MDB sepertimana didakwa DOJ.

“Kenyataan menghasut dari DOJ ini terus dikeluarkan tanpa sebarang asas dan bukti yang kukuh bagi mempengaruhi orang ramai khsusnya rakyat yang mudah mempercayai sesuatu tanpa diselidik terlebih dahulu.

“Ini adalah satu tindakan tanpa usul periksa untuk dijadikan modal oleh individu dan pihak tertentu demi kepentingan peribadi dan agenda tertentu hanya mahu mencemarkan imej Malaysia dan pentadbiran negara,” katanya lagi.

Oleh itu, beliau mencabar DOJ untuk mendedahkan siapa sebenarnya penghasut atau pengadu kerana sebenarnya Malaysia tidak perlukan campurtangan asing termasuk DOJ dalam mengurustadbir negara ini kerana Malaysia sentiasa mengamalkan dasar menghormati prinsip dan perlembagaan mana-mana negara sepertimana dilaksanakan dan dipraktikkan ketika ini. – MediaUMNO

  • Infografik