Kerajaan Tanggung Subsidi Haji RM230 Juta Tahun Ini

PAPAR, 19 Jun – Kerajaan akan menanggung kos subsidi jemaah haji sebanyak RM230 juta pada tahun ini bagi memastikan bayaran haji bagi setiap jemaah Malaysia kekal RM9,980 seorang, kata Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Beliau berkata kos tanggungan tersebut adalah sebahagian daripada usaha kerajaan membantu umat Islam di negara ini sekali gus memastikan mereka dapat melaksanakan tuntutan Rukun Islam kelima itu.

“Kos sebenar menunaikan haji ialah RM19,550, namun, kerajaan memberikan subsidi sebanyak RM9,570 seorang bagi yang pertama kali mengerjakan haji. Jemaah Malaysia hanya membayar RM9,980 seorang. Dan, untuk tahun ini, kerajaan akan menanggung sejumlah RM230 juta subsidi haji.

“Hanya kerajaan Malaysia sahaja yang memberi subsidi untuk rakyatnya menunaikan haji. Untuk itu, rakyat Malaysia perlu bersyukur dan berterima kasih,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan pada Program Ziarah Kasih Ramadan bagi kawasan Parlimen Kimanis anjuran Yayasan Tabung Haji dan Biro Keahlian dan Daftar Pemilih UMNO di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman yang juga Anggota Parlimen Kimanis, Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif selaku Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut dan ADUN Bongawan Datuk Mohamad Alamin.

Terdahulu, dalam ucapannya, Abdul Azeez berkata terdapat kira-kira 2.5 juta umat Islam di negara ini direkodkan telah mendaftar di Tabung Haji setakat ini.

Beliau berkata umat Islam yang baharu mendaftar di institusi itu pada tahun ini perlu menunggu giliran selama 102 tahun untuk ke tanah suci.

Dalam pada itu, Abdul Azeez mengingatkan semua pendeposit Tabung Haji untuk terus kekal menabung dan jangan sama sekali mudah terpedaya dengan dakyah pembangkang yang mendakwa institusi itu bankrap.

  • Infografik