Dap Sudah Hilang Kepercayaan PPBM Mampu Dijadikan Umpan Tarik Sokongan Pengundi Melayu

TEMERLOH, 16  Jun – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Sharkar Shamsuddin berkata, Dap kini dilihat telah mula hilang kepercayaan mereka terhadap PPBM, yang sebelum ini dilihat sebagai sebuah parti baru yang mampu untuk menarik sokongan besar di kalangan orang Melayu di negara ini untuk memberikan undi mereka kepada Pakatan Harapan.

Menurut beliau, semua orang tahu bahawa Dap merupakan sebuah parti yang opportunis di mana sebelum ini mereka menggunakan parti seperti Pas dan PKR untuk mempengaruhi sokongan orang Melayu terhadap pakatan pembangkang.

“Namun apabila Tun Mahathir menubuhkan parti baru, Dap merasakan  parti baru ini mempunyai pengaruh yang kuat di kalangan orang Melayu.  Sebab itulah kita boleh lihat bagaimana Lim Kit Siang mula berbaik-baik dengan Tun Mahathir walaupun partinya itu telah dikecam dengan pelbagai gelaran oleh Tun Mahathir selama 22 tahun pemerintahannya.

“Apabila Dap mula menjalinkan hubungan baik dengan PPBM, secara tidak langsung mereka telah mengorbankan PKR yang mana kita tahu bahawa PKR dan PPBM mempunyai hubungan yang amat dingin, berdasarkan permusuhan yang berlaku antara Anwar dan juga Tun Mahathir dulu.

“Namun, Dap tidak mempedulikan hal itu dan terus merapatkan diri dengan PPBM kerana mereka mempunyai keyakinan besar bahawa PPBM mampu untuk menarik sokongan orang Melayu lebih besar daripada PKR itu sendiri,” ujarnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Bagaimanapun tambah Sharkar, perkembangan mutakhir yang berlaku telah menyaksikan bahawa PPBM kini berada dalam keadaan yang begitu caca marba akibat  konflik dalaman yang dilihat serius bagi sesebuah parti baru seperti PPBM.

“Kita boleh lihat hari ini bagaimana kucar kacirnya PPBM apabila wujudnya desakan terhadap Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin untuk meletakkan jawatan. Berlakunya gelombang keluar parti secara besar-besaran. Apatah lagi apabila isu kekayaan anak-anak Tun Mahathir juga mula menjadi dipertikaikan sendiri oleh ahli parti tersebut.

“Malah, hubungan antara Tun Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin juga dikatakan dalam keadaan yang tidak berapa baik untuk mengatasi segala kemelut dan masalah yang berlaku di dalam PPBM sekarang ini.

“Apa yang berlaku di dalam PPBM ini cukup untuk menggambarkan parti tersebut kini berada di dalam keadaan yang tidak stabil dan terumbang ambing. Dan bagi Dap, ini merupakan satu petanda jelas dalam keadaan seperti ini, mustahil parti itu dapat menjadikan sebuah parti yang meyakinkan orang Melayu untuk memberikan sokongan kepada mereka,” jelasnya.

“Bagi saya antara sebab mengapa kepimpinan Dap menolak cadangan barisan kabinet yang dicadangkan oleh PPBM yang mana meletakkan Tun Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin di jawatan nombor satu dan dua tertinggi di dalam pakatan harapan,” jelasnya.

Selain daripada isu pergolakan parti tersebut, Sharkar yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Pahang berpandangan bahawa Dap telah menghidu cadangan yang datang daripada PPBM itu ada muslihat kepentingan peribadi yang tersendiri di mana ianya  tidak lain tidak bukan hanyalah akan memberikan keuntungan politik kepada Tun Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk kembali berkuasa.

“Saya yakin bahawa dengan melihat kelemahan demi kelemahan serta pergolakan yang berlaku di dalam parti PPBM itu, maka Dap terpaksa membuat keputusan untuk kembali menjadikan PKR sebagai jurucakap utama mereka untuk mempengaruhi undi orang Melayu.

“Biarpun politik dalaman PKR juga bermasalah dengan pelbagai isu termasuklah isu berpecahnya PKR kepada dua kem iaitu kem Wan Azizah dan juga Azmin Ali, namun kemelut yang berlaku di dalam PKR itu masih lagi tidak terlalu menyerlah berbanding dengan PPBM yang kini dilihat semakin huru hara dan seolah-olahnya menemui jalan buntu untuk menyelesaikan konflik dan krisis dalaman mereka yang semakin parah,” akhiri beliau.-MediaUMNO

  • Infografik