“Macam Mana Boleh Selesai? Setiap Parti Pembangkang Ada Senarai Kabinet Masing-masing” – Ismail

KUALA LUMPUR, 14 Jun – “Saya rasa pelik  tengok gelagat pembangkang ini. Senarai kabinet mereka bertukar setiap bulan. Setiap parti, satu senarai kabinet.  Kalau ada empat parti, empat senarai kabinet. Masing-masing ada kepentingan untuk susun orang-orang mereka demi kepentingan parti masing-masing.

“Macam mana nak perintah negara, jika isu barisan kabinet pun tidak pernah selesai. Kalau kita perhatikan, dalam pakatan pembangkang setiap parti ada barisan kabinet mereka sendiri. Rakyat jadi pelik, pening dan keliru. Sebab itulah kita kurang yakin dengan kemampuan pembangkang ini,” demikian kata Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo berhubung isu senarai kabinet terbaru pakatan pembangkang.

Baru-baru ini, bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard, mendesak kepimpinan PKR agar memberikan penjelasan berhubung senarai kabinet yang menyenaraikan antaranya Wan Azizah sebagai Perdana Menteri manakala Mat Sabu pula sebagai Menteri Pendidikan dan Menteri Kewangan.

Menurut Ismail, isu senarai kabinet bayangan pakatan pembangkang yang bertukar setiap kali berlakunya rundingan antara parti-parti pembangkang, cukup menyedihkan dan jelas ianya memperlihatkan sikap tidak profesional kepimpinan pembangkang dalam membarisi kepimpinannya untuk mentadbir negara.

“Sebab itu saya katakan, senarai kabinet bayangan bertukar beberapa kali dalam setahun, macam mana rakyat nak yakin mereka boleh mentadbir negara dengan baik? Setiap kali rundingan berlaku, pastinya senarai kabinet mereka akan bertukar.

“Apabila PKR berunding dengan Dap, maka akan keluar senarai kabinet yang menyenaraikan barisan kepimpinan yang dilihat lebih pro kepada PKR dan Dap. Apabila Dap berunding dengan PAN pula, nanti akan keluar senarai kabinet barisan kepimpinan yang cenderung kepada PAN dan Dap pula.

“Nanti kemungkinan besar PPBM pula akan mengeluarkan senarai kabinet mereka sendiri pula, memandangkan PPBM pun berhasrat untuk menaikkan semula Tun Mahathir sebagai perdana Menteri. Ini tidak mustahil sebab baru-baru ini pun telah berlaku rundingan antara Tun Mahathir dan Lim Kit Siang,” ujarnya sinis kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Sementara itu, beliau juga menyifatkan senario politik blok pembangkang terkini amat bercelaru dan keliru dengan begitu banyak isu-isu dalaman di antara parti-parti pembangkang yang gagal diselesaikan sehingga ke hari ini.

“Kita dapat lihat blok pembangkang sekarang dalam keadaan bercelaru. Kegagalan mereka dalam menyelesaikan isu-isu penting dan membiarkannya ia tergantung tanpa sebarang keputusan dan jawapan telah menyebabkan timbulnya kekeliruan di kalangan rakyat, termasuk penyokong dan ahli mereka sendiri.

“Situasi ini memberikan gambaran bahawa pakatan pembangkang masih belum layak untuk mentadbir negara. Jika isu-isu dalaman parti mereka sendiri tidak mampu di selesaikan, bagaimana kelak mereka mampu untuk selesaikan isu dan permasalahan negara yang sudah tentu lebih besar jika mahu dibandingkan dengan isu dalaman parti mereka itu,” ujarnya.-MediaUMNO

  • Infografik