Senario Politik Pakatan Pembangkang Kini Amat Bercelaru – Prof Madya Hanafiah

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Seorang pensyarah dan penganalisa politik, Prof Madya Dr Hanafiah Harun menyifatkan hala tuju pakatan pembangkang kini amat bercelaru ekoran beberapa isu seperti siapa Perdana Menteri, isu pengagihan kerusi, isu tikam menikam dan berbalah sesama sendiri masih tidak selesai biarpun PRU ke 14 sudah hampir menjelang tiba.

Jelasnya, senario politik di dalam pakatan harapan ini menurut pandangan beliau, berada di dalam tidak stabil dan terumbang ambing apatah lagi dengan kewujudan dua parti baru iaitu PAN dan juga Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang jelas hanya menambah masalah di dalam pakatan pembangkang.

“Saya berpandangan begitu kerana kita boleh lihat senario politik di dalam pakatan harapan yang kini saling taji menaji sesama sendiri. Malah, dalam beberapa isu penting seumpamanya siapa yang menjadi Perdana Menteri dan siapa yang menjadi Timbalannya juga masih tidak mampu disepakati oleh parti-parti pembangkang sehingga ke hari ini.

“Begitu juga isu pengagihan kerusi di dalam pakatan harapan yang masih tidak selesai. Ditambah pula dengan kemelut dalaman parti masing-masing seperti PKR yang berlakunya perebutan kuasa bermulanya daripada espisod langkah Kajang sehingga ke espisod cubaan untuk menyingkirkan Azmin Ali daripada kerusi menteri besar.

“PPBM yang ubun-ubunnya masih lembik dan digelar The New Kids On The Block oleh seorang perwakilan Dap, kini mula dilanda konflik dan krisis akibat perebutan jawatan. Malah Presidennya didesak untuk meletakkan jawatan. Dap pula  masih lagi diragui status kesahihan pemilihan jawatankuasa pusatnya sebelum ini tidak ekoran aduan lebih 700 ahlinya yang dinafikan hak mengundi masih tidak selesai.

“PAN pula dilihat amat lemah kerana mereka lebih sibuk untuk cuba melemahkan Pas dan hanya menjadi pak turut apa saja kata Dap di dalam pakatan harapan. Jadi senario seperti inilah antaranya yang telah menyebabkan keadaan parti politik yang bergabung di dalam pakatan harapan amat tidak stabil, terutamanya dari sudut keputusan secara konsensus demi kepentingan nasional. Masing-masing nampaknya ada kepentingan tersendiri untuk parti masing-masing,” jelasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Beliau menjangkakan bahawa segala kemelut dan masalah yang berlaku di dalam pakatan harapan ini amat sukar untuk diselesaikan dalam masa yang singkat dan akan berterusan sehingga menjelang PRU ke 14 nanti.

“Saya kira bukan satu perkara yang mudah untuk kita puaskan hati semua pihak. Saya kira amat sukar untuk mereka membuat keputusan yang akan memuaskan hati semua pihak terutama di kalangan penyokong parti masing-masing.

“Apatah lagi di kalangan parti-parti pembangkang itu sendiri menaruh rasa curiga dan mempunyai hubungan yang dingin seperti mana PKR dan PPBM yang mempunyai sejarah lampau berhubung Tun Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” ujarnya.

Justeru itu, beliau mengharapkan pengundi di negara ini agar tidak memperjudikan nasib dengan memberikan kuasa kepada sekelompok parti politik yang masih berterabur hala tuju mereka, tidak putus-putus dengan masalah dalaman, serta tidak stabil dalam perhubungan untuk menjadi pentadbir di negara ini.

“Ini amat berbeza dengan senario politik di dalam Barisan Nasional (BN). Biarpun BN bukan sebuah gabungan parti politik yang sempurna, adanya berlaku perbezaan pandangan dan pendapat sepanjang mereka mentadbir negara, namun segala masalah ini dapat diatasi dengan keputusan bersama demi kepentingan rakyat dan negara.,”

“Kita tidak boleh memberikan harapan walaupun mereka menamakan kelompok mereka itu sebagai pakatan harapan. Setelah dua kali perpecahan di dalam pakatan pembangkang, mereka tidak pernah berubah, bahkan keadaan bertambah buruk dengan wujudnya dua lagi parti baru di dalam pakatan pembangkang. Jika mereka diberikan kuasa, maka masalah itu juga tidak akan selesai dan secara tidak langsung rakyat juga akan menjadi mangsa,” tegasnya.-MediaUMNO

  • Infografik