Rakyat Perlu Menilai Dan Berfikir Sedalam-dalamnya Pilih Kerajaan – Salleh

KOTA BELUD, 19 Mei – Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Keruak berkata apabila menjelang pilihan raya umum, banyak isu yang akan ditimbulkan oleh pihak pembangkang, untuk memburuk-burukkan kerajaan.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat agar pandai menilai dan berfikir sedalam-dalamnya untuk menentukan mana kerajaan yang boleh menentukan keamanan dan kestabilan negara.
“Kita lihat apabila tiba musim pilihan raya pelbagai isu yang cuba ditimbulkan oleh pemimpin pembangkang. Namun kita perlu ingat bahawa matlamat mereka cuma memancing undi dan hanya politik semata-mata.

“Matlamat mereka bukan ingin membantu rakyat atau membangunkan negara. Oleh itu kita harus berfikir dan jangan sesekali menjadi alat para pemimpin seperti itu. Rakyat adalah penentu masa depan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perayaan Pesta Kaamatan Kadamaian 2017 di Kampung Taginambur Jaya, dekat sini hari ini.

Salleh berkata rakyat perlu mengetahui bahawa hanya kerajaan BN yang mampu memastikan negara sentiasa aman dan stabil.

“Ia sudah terbukti bahawa hanya kerajaan BN mempunyai dasar yang dapat membangunkan rakyat dan negara. Kita mempunyai macam-macam dasar, contohnya dasar untuk membantu golongan Bumiputera dan membantu golongan yang kurang berkemampuan.

“Namun apabila kita lihat pembangkang khususnya di Sabah, mereka sering bergaduh dan tiada persefahaman. Kerja mereka hanya menubuhkan parti baharu…kalau mereka boleh bersatu dan benar-benar berjuang untuk Sabah, sudah tentu mereka ada persefahaman.

“Ada pemimpin di Sabah yang dulu daripada parti pembangkang dan sekarang berpindah jke parti pembangkang yang lain. Apa tujuannya? Sudah tentu hanya ingin menjadi calon atau mahukan jawatan semata-mata dan akhirnya matlamat mereka hanya untuk pilihan raya sahaja…lepas pilihan raya mereka akan hilang,” katanya.

Sementara itu, mengulas majlis itu, Salleh berkata rakyat perlu bersyukur kerana dapat meraihkan pesta Kaamatan setiap tahun dalam keadaan aman dan damai.

“Oleh itu saya berharap perayaan ini disambut dengan iltizam dan semangat kekitaan oleh rakyat di seluruh Sabah tanpa mengira bangsa dan agama untuk memperkukuhkan perpaduan.

“Pesta Kaamatan merupakan peluang terbaik untuk mengukuhkan lagi semangat perpaduan, persefahaman dan muhibah dalam kalangan rakyat berbilang kaum,” katanya.

  • Infografik