Menyusuri Sejarah Tinta Emas UMNO Dalam Tujuh Dekad Membangunkan Negara Bangsa

Pohon nyior di tepi laut,
Dimakan kumbang pucuknya layu,
Kepada UMNO kita berpaut,
UMNO tumbang hilanglah Melayu.
(Tan Sri Aziz Tapa)

Menyisir sejarah membangunkan negara bangsa, sekitar awal tahun 1940-an dan awal 1950-an dahulu, bumi berdaulat ini hanyalah terdiri daripada kelompok-kelompok kecil penempatan, perdesaan, bangunan-bangunan kecil, yang tidak terancang. Orang-orang Melayu khususnya, hidup tidak terpimpin, tanpa mempunyai halatuju sebuah bangsa yang jelas, terpinggir, bahkan gelap gulita dalam maksud perjuangan yang sebenar.

Lalu, pada persimpangan yang genting lagi bersejarah itu, tercetuslah sebuah kebangkitan pertama, Kongres Melayu Se-Malaya pada tanggal 1 Mac 1946 yang telah berjaya menghimpunkan 41 kumpulan Melayu yang bersatu dalam sebuah kesatuan, dalam menentang penubuhan Malayan Union.

Akhirnya, dengan kehendak Yang Maha Esa, pada tanggal 11 Mei 1946 tergagaslah sebuah pertubuhan yang akan mengubah nasib sebuah negara bangsa, maka lahirlah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau PEKEMBAR. Peristiwa bersejarah ini yang dirakam dengan tinta emas di Istana Besar, Johor Bharu telah membawa kepada terbentuknya satu organisasi rasmi massa, yakni UMNO.

Penubuhan parti keramat ini, lebih 71 tahun dulu, telah menjadi satu titik di garisan sejarah dan merupakan detik permulaan atau satu perjalanan massa untuk orang-orang Melayu, dengan menjadikan UMNO sebagai sebagai Penggerak Kemajuan dan Pembikinan Negara Bangsa.

Memuliakan Institusi Raja-Raja dan Ketuanan Melayu

UMNO sebagai parti keramat orang Melayu sentiasa memuliakan institusi Raja-Raja Melayu. Hakikatnya, hubungan UMNO dan Raja-Raja Melayu, bukanlah asing lagi, parti UMNO sendiri lahir di Istana Besar, Johor Bharu. Perlantikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V, sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-15 ialah manifestasi Konsep Raja Berpelembagaan yang dijunjung tinggi oleh UMNO untuk selama-lamanya.

Memperkasakan Ekonomi Bumiputera

Sejak merdeka lagi, UMNO yang memimpin kerajaan Perikatan dan Barisan Nasional telah mengilhamkan pelan pembangunan yang terancang dalam memperkasakan ekonomi bumiputera. Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan dalam Rancangan Malaysia Ketiga (1976-1980) oleh Tun Abdul Razak Dato’ Hussein telah banyak mengubah Malaysia pada hari ini.

Matlamat tersurat DEB iaitu untuk mencapai perpaduan negara dan integrasi nasional telah digubal dalam konteks strategi serampang dua mata. DEB telah berperanan untuk mengurangkan dan membasmi kemiskinan serta meningkatkan pendapatan dan menambah peluang-peluang pekerjaan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.

Lembaga Persekutuan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP) atau lebih dikenali sebagai FELDA ialah satu cerita kejayaan UMNO dalam memperkasakan ekonomi bumiputera. Hari ini, kisah 100 ribu orang peneroka dan 2 juta orang komuniti FELDA telah dijadikan rujukan dan model banyak negara-negara lain.

Namun, apa yang lebih utama, projek penempatan semula penduduk luar bandar yang miskin ke kawasan-kawasan yang baru dibangun ini telah berjaya meningkatkan taraf ekonomi mereka. Malah hari ini, FELDA melalui anak-anak syarikatnya, telah menjadi sebuah entiti multinasional dan telah mengembangkan pengaruhnya ke serata dunia. Kisah kejayaan UMNO dalam memperkasakan ekonomi bumiputera, juga terserlah melalui Majlis Amanah Rakyat (MARA), Permodalan Nasional Berhad (PNB), RISDA, FELCRA dan banyak lagi.

Dalam mendepani cabaran global hari ini, kerajaan di bawah payung UMNO dan Barisan Nasional telah merangka pelan baru iaitu Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera (BETR). Pelan seperti ini penting bagi memperkukuhkan lagi penyertaan Bumiputera dalam ekonomi negara melalui penciptaan kekayaan dan penyertaan seimbang dalam guna tenaga di bidang bernilai tambah tinggi, serta pembangunan usahawan. Usaha berterusan seperti ini, bukankah tanda kesungguhan UMNO dalam membangunkan negara bangsa?

Melonjakkan Pendidikan dan Modal Insan

Pendidikan adalah kunci utama dalam pembangunan sebuah negara bangsa. Melalui pendidikan, putera dan puteri bangsa akan diasuh serta dididik menjadi warganegara yang berilmu pengetahuan dan berakhlak mulia. Hubungan UMNO dan bidang pendidikan telah lama berakar umbi bermula sejak penubuhan UMNO lagi. Bukankah, guru-guru yang berada di ceruk-ceruk desa, kampung serta bandar yang mempunyai jatidiri UMNO telah memain peranan penting dalam memberi kesedaran kepada orang Melayu akan pentingnya kemerdekaan. Guru-guru ini juga telah meniupkan obor kesedaran kepada anak-anak Melayu akan peri pentingnya pendidikan dalam mengubah destini anak bangsa.

Demikian pula, UMNO juga telah mencetus kepada penubuhan sebuah institusi pengajian tinggi kebanggaan orang Melayu dan Bumiputera sejak enam dekad lalu, yakni UiTM. Kampus-kampus UiTM yang berada di seluruh negara pada hari ini telah melahirkan ratusan ribu anak watan yang bertaraf profesional seperti doktor, peguam, jurutera dan banyak lagi.

Selain itu, kerajaan menerusi UMNO dan Barisan Nasional juga menyediakan ribuan biasiswa untuk anak-anak Malaysia menyambung pengajian hingga ke luar negara dan telah melakar kecemerlangan dalam bidang masing-masing. Hari ini jua, institusi-institusi pengajian tinggi negara telah mencapai status antarabangsa dan Malaysia telah menjadi hub pengajian tinggi tumpuan masyarakat dunia.

Hari ini, UMNO sedang menerajui inisiatif Program Jelajah Pendidikan Bumiputera dengan matlamat mencari pelajar Bumiputera yang tercicir ke universiti atau kolej kemahiran bagi melanjutkan pelajaran.

Menjunjung Tinggi Syiar Islam

UMNO dalam sejarahnya yang panjang telah menjunjung tinggi Islam sebagai agama rasmi negara dengan caranya yang lebih efektif dan tersusun, bukan terbatas kepada slogan semata-mata. Dalam memimpin negara pada hari ini, perjuangan UMNO yang mengikut ajaran Islam telah membawa Malaysia sebagai negara contoh umat Islam yang berjaya dan progresif.

Kerajaan yang dipimpin oleh UMNO pada hari ini juga telah memperkenalkan Indeks Syariah Malaysia. Lima elemen utama dalam Maqasid Syariah iaitu pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta merupakan kayu ukur utama yang akan digunakan untuk mengukur lapan bidang utama pentadbiran negara seperti pendidikan, perundangan Islam, politik, kesihatan, ekonomi, budaya, sosial serta prasarana dan persekitaran.

Kerajaan Malaysia di bawah UMNO juga telah mengetengahkan prinsip Wasatiyyah ke peringkat nasional dan antarabangsa, prinsip Islam ini yang bermakna kesederhanaan amat penting untuk dipraktikkan pada hari ini oleh masyarakat Malaysia dan dunia. Kerajaan di bawah UMNO juga amat bekerja keras dalam mengubah perspepsi keganasan dan kezaliman yang selalu dikaitkan dengan umat Islam. Buktinya, kerajaan bersetujuan untuk menubuhkan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman di Malaysia bagi menegakkan syiar Islam di mata dunia.

Kerajaan melalui UMNO juga bersunguh-sungguh dan terkehadapan dalam membantu saudara muslim di seluruh dunia. UMNO melalui Biro Kebajikan telah bergerak ke bumi-bumi umat Islam seperti di Rakhine (Myanmar), Syria, Palestine dan banyak lagi untuk membantu meringankan beban umat Islam di sana dalam menghadapi konflik kemanusian. Kerajaan Malaysia di bawah pimpinan UMNO juga sering dijemput sebagai moderator atau orang tengah kepada masyarakat atau komuniti muslim seperti di Selatan Thailand dan Selatan Filipina dalam memperjuangkan nasib mereka.

Melonjak Transformasi Nasional

Kerajaan di bawah UMNO juga telah melancarkan Dasar Transformasi Nasional untuk mendepani cabaran global dan digital dunia yang baru. Kejayaan Dasar Transformasi Nasional ini juga terbukti apabila KDNK pada suku ketiga tahun 2016, Malaysia tetap berjaya mencatat perkembangan KDNK sebanyak 4.3 peratus dan mensasarkan 4 hingga 4.5 peratus pada tahun 2017.

Kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional juga telah menonggak kemakmuran ekonomi, antaranya hasil lawatan Perdana Menteri ke Jerman pada tahun 2015 telah berjaya memeterai pelaburan bernilai hampir 5 bilion ringgit. Selain itu, melalui lawatan ke China pula, kerajaan telah mencipta sejarah apabila berjaya memeterai perjanjian pelaburan bernilai hampir 144 bilion ringgit, yang akan memberikan pulangan lumayan kepada negara.

Tambahan itu, lawatan Perdana Menteri ke India pada tahun 2017, telah memeterai 31 MoU dan membawa masuk jumlah pelaburan bernilai RM158.4 bilion. Ini jelas menunjukkan keyakinan kerajaan-kerajaan dan syarikat-syarikat terkemuka asing terhadap suasana pelaburan dan ekonomi di Malaysia.

Transfromasi Nasional 2050

Seterusnya, di bawah lembayung Dasar Transformasi Nasional, kerajaan pimpian UMNO juga telah mencetuskan satu gerakan Transformasi Nasional 2050 atau TN50 bagi membentuk satu negara bangsa yang benar-benar berwibawa dan melahirkan generasi masyarakat masa depan yang terbaik. Menariknya, sesi Town Hall TN50 akan menjelajah seluruh negara bagi mengutip idea serta cadangan bernas daripada golongan muda Malaysia. Cadangan-cadangan ini seterusnya akan dikumpulkan sebelum dijadikan hala tuju bagi gerakan TN50. Sesungguhnya, kerajaan pimpinan UMNO bersungguh-sungguh melibatkan generasi muda sebagai pembuat keputusan negara menuju tahun 2050.

Melindungi Kebajikan Rakyat

Sebagai sebuah parti politik, UMNO terhutang budi kepada rakyat yang telah menyokongnya sejak 7 dekad yang lalu. Ketidaktentuan ekonomi dunia akibat harga minyak mentah telah menyebabkan ekonomi negara terjejas. Rakyat marhaen di bandar dan luar bandar telah terkesan akibat situasi ekonomi yang tidak menentu pada hari ini. Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BRIM) ialah manifestasi penuh komitmen UMNO dan Kerajaan dalam membantu rakyat jelata. Sesungguhnya, bantuan ini telah meringankan beban rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan parti politik dalam mendepani kehidupan seharian.

Selain itu, kerajaan pimpinan UMNO juga memberi bantuan khas yang lain kepada pekebun kecil, penoreh getah dan nelayan serta pesawah padi pula, Malahan, Kerajaan UMNO turut memberi bantuan khas kepada imam, bilal, siak serta guru-guru KAFA. Adakah ini tidak cukup bukti lagi, usaha UMNO dalam menjaga kebajikan rakyat?

Mempertahankan Kedaulatan Negara

Sejarah telah menjadi saksi, kerajaan pimpinan UMNO sentiasa teguh dalam mempertahankan kedaulatan negara daripada ancaman luar seperti komunis seketika waktu dahulu. Malah di zaman moden ini, kebijaksanaan pimpinan UMNO juga telah berjaya melindungi kepentingan dan kedaulatan negara seperti krisis Peristiwa Lahad Datu 2013. Kerajaan di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri telah mengumumkan kewujudan Zon Selamat Sabah Timur bagi menjaga kedaulatan negara dari ancaman anasir dan provokasi pihak luar.

Kesimpulannya, kejayaan UMNO dan Barisan Nasional dalam tujuh dekad yang lepas dalam membangunkan negarabangsa ialah manifestasi keutuhan kepimpinan UMNO serta sokongan serta dokongan padu rakyat Malaysia.

UMNO sebagai sebuah wadah politik membuktikan keupayaannya dalam menongkah arus, onak dan duri dalam membina negara bangsa Malaysia. Jasa dan bakti UMNO kepada nusa dan bangsa, telah ditulis dengan tinta emas dalam sejarah negara bangsa bernama Malaysia.

Penulis, Mohd Farhan Hanif bin Reduan, 27, pelajar PhD Perubatan Veterinar, UPM merupakan pemenang tempat pertama di dalam Pertandingan Esei (Kategori Bahasa Malaysia) Sempena Sambutan Hari UMNO Ke-71.

  • Infografik