Jelajah #UMNOBantuRakyat Sasar Bantu 400,000 Orang Kurang Kemampuan – Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 19 Mei – Biro Kebajikan UMNO akan menganjurkan jelajah ‘UMNO Bantu Rakyat’ fasa 1 ke 22 lokasi seluruh negara mulai hari ini sehingga 31 Mei manakala untuk Fasa 2, ianya akan berterusan mengikut jadualnya di 50 lokasi tumpuan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, program jelajah selama 12 hari itu akan membabitkan 8,000 sukarelawan dari semua sayap parti iaitu Pemuda, Puteri dan Wanita dari seluruh negara.

“Program ini bermula hari ini di Ampang, Selangor yang akan dirasmikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak seterusnya melepaskan para peserta konvoi yang akan bergerak ke Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Sabah.

“Melalui program #UMNOBantuRakyat ini, kita sasarkan lebih 400,000 orang daripada keluarga miskin, ibu tunggal, pesakit kronik, anak yatim piatu dan pelajar akan diberi pelbagai bantuan bergantung kepada keperluan mereka.

“Program ini bukan sekadar acara menghulurkan sumbangan semata-mata. Lebih daripada itu, ia merupakan simbolik komitmen UMNO menjaga kebajikan rakyat sejak dahulu, kini dan selama-lamanya,” ujarnya ketika ditemui selepas Taklimat bersama peserta Jelajah UMNO Bantu Rakyat di sini, Khamis malam.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia menjelaskan bahawa bantuan yang akan diberikan mengikut keperluan rakyat.

Jelajah tersebut jelas beliau lagi berbentuk kurang protokol dan mesra dalam usaha lebih menyelami permasalahan rakyat.

“Jelajah ini berkonvoi menggunakan kenderaan pacuan empat roda dengan dibantu Briged Bantuan Bencana BIKUM, pasukan perubatan pemimpin setempat, pengamal media dan sayap parti yang lain.

“Kita semua sedar usaha membantu rakyat ini tiada penamatnya dan sebagai sebuah parti yang komited membantu rakyat, UMNO tidak akan berhenti dalam usaha ini. Dalam situ­asi yang amat berbeza dan semakin mencabar kini, sudah pasti rakyat sentiasa mengharapkan pem­belaan, sokongan dan bantuan. Maka, kita perlu sentiasa memperkukuh dan mempergiatkan usaha ini,” tambahnya.

Program ini kata beliau akan berakhir di Terengganu pada 31 Mei.

“Kita akan ke seluruh negara kecuali Sarawak bagi membantu rakyat susah di kesemua 191 bahagian UMNO di seluruh negara”, ujarnya. -MediaUMNO

  • Infografik