“Bola Tanggung” Pas Buat Azmin Kini Semakin Benar-benar tersepit – Sohaimi

KUALA LUMPUR, 19 Mei –  Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali ketika sudah semakin benar-benar tersepit apabila Pas membuat keputusan untuk terus mengekalkan tiga exconya di dalam kerajaan negeri Selangor sehingga Azmin membuat keputusan dan mendapatkan perkenan Sultan Selangor, demikian pandangan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Sohaimi Shahdan.

Umpama bola tanggung jelasnya  Azmin Ali tidak mampu lagi untuk  ‘kong kali kong‘ dalam mendepani isu tersebut kerana bola kini sudah berada di kakinya dan bergantung kepada beliau untuk membuat sebarang keputusan termasuk memecat ketiga-tiga Exco berkenaan.

Namun beliau percaya Azmin cukup tersepit untuk mengambil keputusan memecat ketiga-tiga Exco Pas daripada kerajaan negeri memandangkan jasa dan peranan Pas dalam kemelut perlantikan menteri besar sebelum ini yang akhirnya berpihak kepada Azmin.

“Pada masa yang sama, jika Azmin tidak melakukan sesuatu dalam isu berkenaan jangka hayat kedudukannya sebagai menteri besar akan semakin terancam setelah mengambil kira percaturan politik di dalam PKR itu sendiri.

“Jadi mengambil kira keadaan ini, Azmin berada dalam keadaan tersepit umpama diluah mati emak, ditelan mati bapak,“ katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Teka-teki berhubung kedudukan Exco Pas di dalam kerajaan Selangor terus menjadi bualan kepada masyarakat umum setelah parti terbabit di dalam muktamarnya sebelum ini mengambil keputusan memutuskan tahalluf siyasi dengan parti berkenaan.

Biro Politik PKR sebelum ini ini memutuskan supaya semua lantikan politik PKR dalam kerajaan negeri Kelantan dilepaskan berkuatkuasa serta merta.

Terkini dilaporkan tiga exco Pas akan kekal dalam kerajaan negeri Selangor sehingga Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali membuat keputusan dan mendapatkan perkenan Sultan Selangor, kata Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.

Sohaimi seterusnya berkata Pas sewajarnya mengambil kira pandangan akar umbi dan perlu menunjukkan ‘kejantanan‘ dengan melepaskan semua jawatan yang dipegang di Selangor seperti mana arahan yang dikeluarkan oleh PKR kepada pimpinannya di Kelantan.

Katanya bukankah keputusan untuk memutuskan hubungan politik dengan PKR ini adalah suara dari akar umbi parti mereka dan seharusnya Pas membuat keputusan lebih berani tanpa berdolak dalih.

“Tengok apa PKR lakukan di Kelantan… Pas kena betul-betul jadi ‘gentleman‘ dan perlu segera ambil keputusan,” ujarnya. -MediaUMNO

  • Infografik