Berapa Ramai Lagi Pemimpin Pembangkang Yang Sembunyi Status Dua Kerakyatan?

KUALA LUMPUR, 19 Mei – Satu penghinaan, tegas Ahli Dewan Negara, Datuk Fahariyah Nordin terhadap tindakan seorang pemimpin dari parti Dap yang merahsiakan status pemilikan dua kerakyatan.

Tambahnya lagi bukan sahaja satu perbuatan yang langsung tidak menghormati peruntukan undang-undang malahan satu tindakan yang memalukan institusi Perlembagaan, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ini ekoran terdedahnya laporan berhubung pelucutan kelayakan anggota DUN Pujut, Dr Ting Tiong Choon sebagai wakil rakyat kawasan tersebut pada persidangan DUN 12 Mei lepas, selepas didapati memiliki dua kewarganegaraan.

“Justeru itu, saya mendesak dan mencabar kepimpinan pembangkang untuk membuktikan taat setia bahawa mereka sememangnya warganegara Malaysia.

“Sebagai seorang rakyat, tanah tumpah negara kita perlu disanjung tinggi dan dimuliakan, bukannya diperdagangkan dengan begitu hina sekali.

“Setelah kes ADUN Pujut ini terbongkar, kini kepimpinan pembangkang perlu memikul tanggungjawab dan membuktikan kewarganegaraan mereka,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini.

Tambahnya lagi, pastinya sikap patriotik seseorang rakyat yang memiliki dua kewarganegaraan itu akan terus dipersoal, menjadi bahan persenda serta usikan pihak lain.

“Termasuk pemerhati politik antarabangsa yang akan melabel wakil rakyat Malaysia sebagai pemimpin tangkap muat dan tidak cintakan negara.

“Ekoran daripada isu ini juga, sudah pasti kini timbul persoalan berapa ramaikah sebenarnya pemimpin pembangkang yang mempunyai dua kewarganegaraan.

“Ini kerana umum mengetahui ramai pemimpin pembangkang yang mempunyai hubungan istimewa dengan negara jiran maka tidak mustahil ada di kalangan pemimpin pembangkang telah memiliki kerakyatan negara tersebut,” ujar Ketua Puteri UMNO Bahagian Ledang itu.

Selarnya lagi, selama ini mereka hanya tahu mencari salah kepimpinan kerajaan Barisan Nasional sedang hakikatnya pembangkang sentiasa beretorik dan hanya berpolitik sepanjang masa demi kepentingan sendiri sahaja. – Media UMNO.

  • Infografik