Isu Exco Pas Selangor : Siapa Sebenarnya Sedang Main Wayang Dan Drama?

KUALA LUMPUR, 16 Mei – Teka-teki berhubung kedudukan Exco Pas di dalam kerajaan Selangor terus menjadi bualan kepada masyarakat umum setelah parti terbabit di dalam muktamarnya sebelum ini mengambil keputusan memutuskan tahalluf siyasi dengan PKR.

Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, YB Halimaton Saadiah Borhan, beliau berpandangan sebenarnya Datuk Seri Azmin Ali selaku menteri besar mempunyai kuasa yang cukup besar untuk memecat ketiga-tiga Exco Pas berkenaan memandangkan pada dasarnya Pas telah memutuskan hubungan dengan PKR.

Justeru tegas beliau siapa bersandiwara dan siapa yang bermain wayang dalam perkara berkenaan terserlah kerana Azmin selaku ketua kerajaan negeri boleh membawa perkara tersebut kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk dipersembahkan dan diambil tindakan selanjutnya.

“Pada saya begitulah dan tidak timbul ketiga-tiga Exco Pas berkenaan meletakkan jawatan kerana Azmin mempunyai kuasa untuk memecat dan membuat lantikan baharu daripada kalangan parti yang bernaung di bawah pakatan harapan.

“Cuma di sini seperti mana yang diperkatakan sekian lama ‘hutang’ Azmin dengan Pas cukup besar dan atas faktor berkenaan memungkinkan beliau ragu-ragu untuk mengambil tindakan drastik seperti memecat dan sebagainya,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Pelbagai pihak termasuk kalangan parti-pati yang bernaung di dalam pakatan harapan meminta tiga Exco Pas di dalam kerajaan Selangor meletakkan jawatan setelah parti berkenaan di dalam muktamarnya baru-baru ini mengambil keputusan memutuskan tahalluf siyasi dengan PKR.

Namun Pas Selangor dilaporkan mengekalkan khidmat tiga exconya dalam pentadbiran Kerajaan Selangor sehingga Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan, walaupun Majlis Syura Ulama parti itu memutuskan untuk membatalkan hubungan politik dengan PKR.

Pesuruhjaya Pas Selangor yang baharu, Sallehen Mukhyi berkata, khidmat tiga exco itu perlu dikekalkan kerana ia adalah mandat yang diberi oleh rakyat pada PRU14.

Tiga exco berkenaan adalah Datuk Iskandar Abdul Samad yang memegang portfolio Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi yang menyandang portfolio Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi dan Inovasi serta Zaidy Abdul Talib yang menyandang Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani.

Halimaton seterusnya menegaskan Azmin mungkin berada di dalam dilema untuk berdepan kemelut berkenaan dan mungkin ianya akan terus berpanjangan dalam usaha menyelamatkan kerusi Menteri Besar yang disandangnya hari ini.

“Tidak mustahil Azmin hari ini bukan sahaja berdepan dengan kemelut tersebut malah terpaksa menahan asakan dari dalam partinya sendiri.

“Sebab itu tidak mustahil pelbagai wayang baru akan timbul selepas ini walaupun Azmin mempunyai kuasa untuk menamatkan apa yang menjadi tumpuan masyarakat umum hari ini,” ujarnya. MediaUMNO

  • Infografik