Evolusi UMNO 71 : Tujuh Dekad Membangunkan Negara Bangsa

Evolusi UMNO sepanjang 71 tahun penubuhannya merupakan satu manifestasi bahawa perjuangan yang berpaksikan keinginan untuk mengubah dan mempertahankan kelangsungan bangsa dan negara ternyata akan sentiasa relevan dalam latar masa pembangunan negara. Begitulah sinonimnya UMNO dalam perjalanan pembangunan Malaysia ke arah mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi seiring dengan negara-negara maju lain.

Kelangsungan UMNO serta penerimaannya dari awal pembentukan sekitar 1946 sehinggalah ke tahun 2017, menzahirkan suatu persoalan yang memerlukan satu penelitian yang mendalam bagi mendapatkan pemahaman tentang bagaimana dalam tempoh 71 tahun ini, UMNO terus segar dan terus memacu kemajuan pembangunan negara bangsa Malaysia?

Mungkin bait-bait lagu rasmi UMNO itu sendiri boleh dilihat sebagai satu cerminan asas kepada jawapan yang dicari. “Bersatu, Bersetia, Berkhidmat”, merupakan kata-kata keramat yang memacu setiap ahli UMNO tanpa mengira sayap yang diwakili. Biar dari sayap PEMUDA, mahupun PUTERI, waima WANITA sekalipun, slogan tersebut dipegang dan dijadikan niat serta panduan dalam memberikan khidmat kepada rakyat.

“Bersatu kita bersatu, Dengan setia berganding bahu”

Penyatuan dan perpaduan merupakan asas serta nadi kepada akar umbi penubuhan UMNO yang ditubuhkan secara rasmi pada 11 Mei 1946. Penubuhan yang boleh dilihat sebagai penyatuan suara orang Melayu yang merupakan majoriti suara penduduk Tanah Melayu pada waktu itu dalam mencari penyelesaian terhadap nasib Tanah Melayu dalam era revolusi pentadbiran British. Kongres Melayu Se-Malaysia merupakan titik tolak permulaan yang menunjukkan bahawa penyatuan dan kerjasama di antara bangsa Melayu serta bangsa-bangsa lain dalam memacu pentadbiran negara merupakan kunci utama kepada keberadaan UMNO dalam arena politik Malaysia.

Bagaimana usaha penyatuan melalui Kongres Melayu Se-Malaysia tersebut juga yang menjadi senjata utama dalam menggagalkan penubuhan Malayan Union oleh pihak British. Penyatuan serta perpaduan di antara pucuk pimpinan UMNO dengan parti-parti cabang dalam Barisan Nasional serta keterbukaan UMNO untuk berkhidmat kepada seisi masyarakat dalam menjalankan tanggungjawab sebagai salah satu komponen parti pemerintah dalam pentadbiran kerajaan Malaysia merupakan paksi utama bukti bahawa kejayaan UMNO sepanjang 71 tahun ini adalah berasaskan kepada kesatuan dan perpaduan di dalam UMNO itu sendiri.

“Jiwa teguh berpadu, Kita rumpun Melayu”

Survival kelangsungan bangsa Melayu dilihat menjadi wadah terpenting dalam perjuangan UMNO sepanjang tujuh dekad penubuhannya. Bukan bergerak sebagai parti bangsa untuk bangsa semata-mata tetapi bergerak sebagai medium pembangunan negara bangsa Malaysia yang bukan sekadar memfokuskan kepada pembangunan bangsa Melayu sahaja tetapi turut mengambilkira keseluruhan bangsa Malaysia. Ini kerana, pembangunan negara bangsa merupakan satu bentuk pembangunan yang menyeluruh yang merangkumi segenap bangsa di dalam sesebuah negara.

UMNO berperanan untuk memacu bangsa Melayu untuk maju seiring dengan bangsa-bangsa lain dalam sektor pembangunan negara yang dilihat sebagai kunci utama kepada pembangunan bangsa Melayu hari ini. Bangsa Melayu mampu untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah, berlari sama laju dan bersaing pada landasan yang sama dengan bangsa-bangsa lain di Malaysia hasil daripada program-program yang dikelolakan oleh UMNO melalui kerajaan pemerintah.

Penyatuan serta usaha UMNO dalam menjana kemajuan bangsa Melayu sedikit sebanyak turut mengambil kira penglibatan bangsa-bangsa lain menerusi usaha sama politik di antara komponen-komponen lain di dalam Barisan Nasional. Usaha inilah yang menjadikan UMNO sebagai nadi pemacu kepada pembangunan negara bangsa Malaysia seawal tahun 1946 sehingga kini. Penyatuan dalaman dan semangat survival bangsa untuk negara merupakan kunci utama kejayaan UMNO dalam usahanya memacu pembangunan Malaysia.

“Bersama kita bersama, Mendukung hasrat semua”

Memetik kata-kata tokoh veteran UMNO, Tan Sri Abdul Aziz Tapa; “Dalam perjuangan politik, wadah untuk agama, bangsa dan tanah air merupakan perkara yang paling utama berbanding kepentingan, hajat dan kemahuan peribadi”. Ini merupakan kata-kata yang menggambarkan betapa UMNO wujud untuk membangunkan negara berdasarkan kehendak dan keperluan rakyat tanpa meletakkan kehendak mahupun agenda peribadi dalam urus tadbirnya.

Hal ini boleh dibuktikan lagi dengan merujuk kepada Fasal 3.4 Perlembagaan UMNO yang menetapkan bahawa UMNO merupakan sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita Kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa dan agama yang bertujuan untuk mempertahankan kedaulatan rakyat dan keadilan sosial dengan mengamalkan Sistem Pemerintahan Demokrasi Berparlimen serta memajukan ekonomi bangsa Melayu dan Bumiputera khasnya dan rakyat Malaysia amnya.

Bagaimana akar umbi serta paksi perjuangan UMNO adalah diasaskan berdasarkan perjuangan bersama yang menitikberatkan bukan sekadar survival bangsa Melayu malah turut meletakkan kepentingan bangsa-bangsa lain di Malaysia dalam landskap perjuangannya.

“Berjasa pada bangsa, Agama dan negara”

Menyelusuri 71 tahun UMNO, pelbagai usaha serta sumbangan dan tidak dilupakan kejayaan yang telah disumbangkan oleh UMNO kepada pembangunan negara bangsa Malaysia. Bermula dengan sumbangan serta usaha dalam rundingan kemerdekaan, bagaimana UMNO memainkan peranan sebagai salah satu penyumbang ke arah kemerdekaan Malaysia melalui penglibatan wakil UMNO, Tunku Abdul Rahman dalam Parti Perikatan sewaktu rundingan kemerdekaan di London.

Jasa UMNO tidak dapat dinafikan dan sumbangan inilah yang membuatkan UMNO sentiasa relevan di mata rakyat Malaysia. UMNO berpaksikan kepada mengubah nasib serta hala tuju bangsa dan UMNO dilihat sebagai sangat komited dalam usahanya untuk mencapai hasrat ini. Pendidikan merupakan aset utama yang digerakkan oleh UMNO bagi memastikan hala tuju bangsa serta pembangunan negara adalah terjamin kerana hanya dengan pendidikanlah misi dan visi penubuhan UMNO mampu dicapai dengan jayanya.

Bagaimana dengan usaha serta idea bernas pemimpin-pemimpin UMNO terdahulu yang menerajui kepimpinan kerajaan, idea-idea bernas seperti pinjaman serta biasiswa pendidikan melalui Majlis Amanah Rakyat, Jabatan Perkhidmatan Awam serta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara merupakan beberapa contoh bagaimana UMNO berjaya untuk memperkasakan bangsa dengan memberikan peluang pendidikan secara menyeluruh kepada bangsa Malaysia.

Tidak dilupakan juga peranan Tun Abdul Razak dalam memperkenalkan Penyata Razak yang merupakan titik tolak kepada transformasi sistem pendidikan Malaysia yang memperjuangkan identiti kebangsaan dan pada masa yang sama masih mengekalkan kepentingan sekolah vernakular.

“Lambang kita yang gagah, Dipandang mulia dan indah”

Walaupun mendapat pelbagai tomahan serta provokasi daripada pihak-pihak tertentu yang cuba untuk menidakkan fungsi serta peranan UMNO dalam kejayaan pembangunan Malaysia, parti UMNO masih kekal teguh, utuh dan tetap dipandang tinggi oleh pelbagai pihak yang memperakui kejayaan UMNO dalam fungsinya sebagai komponen parti pemerintah di Malaysia. Melalui usaha transformasi ekonomi Malaysia di mana dasar keterbukaan ekonomi yang diperkenalkan oleh pemimpin UMNO melalui fungsinya sebagai kerajaan pemerintah dilihat sebagai langkah terbaik yang telah memperkasakan Malaysia dalam sektor ekonomi dunia.

Memetik penulisan Dato’ Sri Najib Tun Razak, Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia, dalam laman sesawang beliau di www.najibrazak.com bertarikh 16 Februari 2016 bertajuk “Ekonomi Malaysia 2016” menyifatkan bahawa pertumbuhan ekonomi Malaysia adalah dalam landasan yang terbaik selepas pengumuman yang dibuat oleh Bank Negara Malaysia yang melaporkan bahawa ekonomi negara berkembang 4.5% pada suku keempat 2016 yang mana ia disokong oleh peningkatan berterusan dalam perbelanjaan sektor swasta yang membawa kepada pertumbuhan keseluruhan ekonomi Malaysia pada tahun 2016 sebanyak 4.2%.

Dunia mula melihat Malaysia sebagai satu kuasa ekonomi yang baru yang mula mengorak langkah dalam perlumbaan ekonomi dunia. Segala pencapaian ini ternyata disumbangkan secara langsung dan tidak langsung oleh UMNO melalui fungsinya sebagai salah satu parti komponen terbesar Barisan Nasional yang juga merupakan parti pemerintahan dalam pentadbiran kerajaan Malaysia.

“Bersatu, bersetia, berkhidmat, Cogan katanya”

Sebagai anak muda 28 tahun yang membesar dengan dengan melihat sendiri bagaimana UMNO mencorak kehidupan warga Malaysia serta bagaimana UMNO sendiri yang membela nasib bangsa Melayu dan memperjuangkan hak serta ketuanan bangsa Melayu tanpa menidakkan hak bangsa-bangsa lain, saya yakin bahawa UMNO akan terus relevan untuk 100 mahupun 1,000 tahun akan datang. UMNO dilihat sebagai satu parti yang lengkap kerana ia merangkumi segenap pelusuk masyarakat.

UMNO meletakkan fungsi wanita dalam pergerakan politik Malaysia, UMNO mengiktiraf fungsi golongan muda dalam proses pentadbiran politik serta terus melibatkan ahli-ahli veterannya dalam pentadbiran parti. Ini kerana, UMNO adalah parti rakyat yang dijana oleh rakyat untuk rakyat. Inilah yang memberikan UMNO satu aura yang kuat yang terus dilihat relevan untuk membangunkan negara bangsa Malaysia.

Sekiranya cogan kata keramat “Bersatu, Bersetia, Berkhidmat” terus disematkan dalam setiap ahli UMNO tanpa mengira latar belakang mahupun jawatan atau daerah serta negeri, maka UMNO akan sentiasa menjadi parti terulung di Malaysia yang akan terus memacu pembangunan Malaysia ke aras TN50. Bagaimana keris yang tersemat di bendera UMNO itu sendiri perlu dijadikan azimat terbaik untuk terus membakar semangat ahli UMNO dalam memberikan khidmat cemerlang kepada negara bangsa Malaysia.

“UMNO terus mara, Untuk rakyat Malaysia”

Merah untuk keberanian, putih yang melambangkan kebersihan, kuning yang mencerminkan kebesaran raja-raja, hijau untuk agama dan keris yang menunjukkan pusaka Melayu merupakan elemen-elemen terpenting yang perlu sentiasa diingati oleh setiap ahli UMNO dalam menetapkan visi serta misi dalam memperkasakan UMNO untuk tahun-tahun yang mendatang.

UMNO bukan lagi anak kecil dalam latar politik Malaysia, UMNO merupakan satu parti politik yang matang dan rasional dalam setiap pergerakannya. UMNO yang berusia 71 tahun inilah yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan menyeluruh negara bangsa Malaysia dan UMNOlah yang telah banyak meletakkan Malaysia dalam peta dunia.

Usaha serta sumbangan UMNO ternyata terlalu signifikan untuk ditidakkan dan dinafikan oleh cakap-cakap kosong pihak tertentu yang ingin memperkecilkan kewibawaan UMNO. UMNO tidak boleh melatah malah perlu lebih kuat untuk terus melangkah dan mengharungi cabaran yang bakal mendatang.

Teruskan usaha murni serta berkhidmatlah seiring cogan kata keramat. Terus mara, bergerak ke hadapan, bukan untuk siapa-siapa tetapi hanya untuk negara bangsa Malaysia. Selamat ulang tahun ke 71, selamat maju jaya, parti keramat negara bangsa Malaysia.

Penulis, Aminu Razif bin Zainal Ariffin, 28, pegawai undang-undang TNB, merupakan pemenang tempat ketiga di dalam Pertandingan Esei (Kategori Bahasa Malaysia) Sempena Sambutan Hari UMNO Ke-71.

  • Infografik