Ahli UMNO Diseru Mulakan Gelombang Perjuangan Hingga Bentuk Tsunami Kemenangan PRU 14

SHAH ALAM, 11 Mei – Anggota UMNO khususnya golongan muda boleh memberikan sumbangan bermakna kepada parti dengan memulakan ”gelombang” perjuangan biarpun secara kecil-kecilan namun konsisten hingga mampu membentuk ”tsunami” kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)..

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata ”gelombang” itu mesti dimulakan segera tanpa perlu menunggu isyarat daripada presiden parti bagi membuktikan akar umno parti tetap bersatu dan kekal padu walaupun UMNO kini berdepan pelbagai cabaran.

Berucap ketika menutup Karnival Sukan UMNO di sini, beliau berkata semua anggota juga perlu berperanan mendekati golongan muda yang bukan anggota UMNO bagi menarik minat mereka menyertai perjuangan parti  demi kelangsungan generasi berkenaan dalam parti keramat Melayu itu.

“Karnival sukan ini bawa makna tersendiri. Saya lihat ia penting untuk mengumpulkan golongan muda kerana mereka adalah pelapis masa depan.

“Tanggungjawab dekati golongan muda bukan terletak kepada Pemuda dan Puteri sahaja kerana saya jamin, bahawa dalam hal ini, sayap UMNO tidak keseorangan kerana semua anggota mesti mainkan peranan,” katanya.

Bercakap pada sidang media selepas itu, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan mengingatkan anggota UMNO supaya menghentikan sikap suka ”menunding jari” sesama sendiri sehingga boleh memecah- belahkan perpaduan parti sebaliknya bekerjasama menganjurkan pelbagai program menaikkan sokongan rakyat.

“Sebagai anggota UMNO, kita mesti sokong parti. Kalau tak sokong, buat apa ada dalam parti kita. Ini paling asas. Kekuatan kita bersandarkan kepada kebersatuan sesama kita,” katanya.

Menurut beliau, kemuncak majlis sambutan ulang tahun UMNO ke-71 malam ini yang bakal menghimpunkan puluhan ribu anggota UMNO dari seluruh negara juga akan menepis dakwaan pihak tertentu yang sering mengatakan parti itu kini berpecah-belah.

Karnival Sukan UMNO selama tiga hari bermula Selasa lepas dianjurkan buat julung kalinya sempena sambutan ulang tahun ke-71 parti berkenaan yang kemuncaknya diraikan hari ini.

  • Infografik