Teruslah Mantapkan UMNO, Tulang Belakang Kerajaan Berjuang Untuk Semua – Tengku Adnan

KUALA LUMPUR, 9 Mei – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor melahirkan keyakinan bahawa UMNO akan terus mantap lantaran sokongan-sokongan yang diberi bukan sahaja dari ahli-ahli parti tetapi juga dari sebahagian besar bangsa Melayu.

“Sokongan-sokongan yang diberi ini bukan sahaja oleh ahli-ahli UMNO tetapi juga oleh bangsa Melayu yang sedar bahawa kejayaan mereka ini adalah kerana UMNO yang mempunyai hala tuju ke arah pembangunan bukan sahaja kepada bangsa sendiri tetapi juga rakyat Malaysia,” katanya dalam temubual eksklusif sempena Ulang Tahun UMNO ke-71 tahun.

Jelas beliau, UMNO adalah sebuah parti kepada orang Melayu yang telah ditubuhkan untuk memastikan bahawa bangsa Melayu, agama Islam dan negara ini terjaga dengan baik, tidak akan ketinggalan dan tidak ditekan oleh orang-orang yang suka membuat onar.

“Kita harus bersyukur kepada Allah SWT oleh kerana kepintaran kepimpinan kita dahulu maka kita telah mencapai kemerdekaan tanpa menumpahkan darah warganya sendiri, hanya ada sedikit masalah dengan komunis tetapi itu pun telah dapat kita selesaikan.”

“Apa yang kita capai hari ini adalah kerana UMNO, yang menjadi tulang belakang kerajaan, dahulu parti Perikatan tetapi kini Barisan Nasional. Yang jadi graduan, jadi ahli perniagaan yang maju, jadi pegawai kerajaan yang berjawatan tinggi dan macam-macam lagi adalah hasil usaha UMNO dan saya percaya mereka akan ingat jasa-jasa ini. Tiada sebuah parti selain UMNO yang akan memastikan masa depan agama, bangsa dan negara.”

Tegas beliau, UMNO adalah parti politik terbesar dan juga parti Islam terbesar, sebagaimana asas tujuan UMNO dalam Perlembagaan.

“Yang penting sekali adalah hala tuju UMNO, masih kekal seperti tujuan penubuhannya kerana kita mempunyai Perlembagaan dan asas-asas dalam Perlembagaan itu telah kita tunaikan; khususnya untuk memastikan keperluan warga Melayu terutamanya ahli UMNO tidak dipinggir. Kita mempunyai landasan, hala tuju dan matlamat yang ingin kita capai.

Berkenaan dengan sambutan besar-besaran yang bakal diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10-11 Mei depan, beliau mengakui bahawa keraian terbabit wajar dilakukan.

“Sambutan besar-besaran ini sepatutnya dilaksanakan tahun lepas tetapi oleh kerana ada tragedi yang menimpa, maka ditangguhkan ke tahun ini. Saya yakin ramai yang akan hadir di Stadium Bukit Jalil untuk bersama-sama merasai dan menjiwai pencapaian yang telah dicapai selama lebih 70 tahun ini.

“Marilah bersama-sama berganding bahu, berganding tangan bagi memastikan bahawa negara kita ini milik kita, dan kita juga pastikan bangsa-bangsa lain mendapat tempat,” tambah beliau lagi yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional. – MediaUMNO

  • Infografik