Jangan Samakan Kewujudan UMNO Dengan Kewujudan Parti Politik Lain Hari Ini

KUALA LUMPUR, 5 Mei – Seorang pensyarah dan penganalisa politik, Prof Dr Hanafiah Harun berkata, generasi hari ini perlu sedar keberadaan UMNO sebagai wadah perjuangan bangsa Melayu di gelanggang politik nasional di kala ini wujud atas unsur perpaduan persatuan-persatuan kecil bangsa Melayu dari seluruh tanahair, yang bersepakat dengan kesatuan niat untuk membela Islam, Bangsa Melayu dan juga tanahair daripada ancaman Malayan Union.

Jelas beliau, UMNO tertubuh setelah bangsa Melayu melihat bahawa gagasan yang dicipta British, Gagasan Malayan Union itu mampu untuk menghapuskan institusi keagamaan, adat tradisi dan sosial orang Melayu dalam jangka masa yang panjang.

“Bagi saya, perpaduan dan kesatuan bangsa Melayu dalam peristiwa penentangan Malayan Union itu merupakan satu sejarah terbesar perpaduan bangsa Melayu, dan mungkin kita tidak dapat  melihat kebangkitan perpaduan bangsa Melayu sebesar dan sehebat itu hari ini atau pada masa yang datang.

“Ketika itu, UMNO ditubuhkan di atas kesedaran bangsa Melayu untuk bangkit dan berjuang mempertahankan Islam, bangsanya dan tanahairnya daripada gagasan Malayan Union ciptaan British, kerana ianya dilihat mampu untuk menghakis dan menghapuskan jati diri orang Melayu di masa akan datang.

“UMNO tidak wujud kerana perpecahan atau kerana permusuhan, tidak juga wujud kerana unsur dengki, mengejar jawatan dan lain-lain nawaitu yang negatif. Sebaliknya kewujudan UMNO adalah dengan niat suci yang didasari roh perjuangan yang meluap-lupa di dada orang Melayu ketika itu,” jelasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Tambah beliau, UMNO terus kekal sehingga ke hari ini adalah kerana kepimpinannya daripada generasi ke generasi masih lagi tetap berada di atas landasan dan nawaitu perjuangan yang diasaskan oleh pejuang-pejuang Melayu terdahulu untuk terus membela Islam, bangsa Melayu dan juga tanahair.

“Memang kita tidak dapat nafikan, UMNO terus kekal menjadi parti terbesar orang Melayu sehingga kini kerana pemimpin UMNO sejak di awal penubuhannya sehingga ke hari ini tetap kekal dengan dasar dan perjuangan yang dibentuk oleh kesatuan bangsa Melayu ketika menentang Malayan Union dulu.

“Walau ada cacat celanya, walaupun berlaku kesilapan di sana sini, biarpub ada sumbang sumbingnya, namun perjuangan UMNO untuk Islam, bangsanya dan juga tanahairnya tetap kekal menjadi matlamat perjuangan UMNO dari dulu hingga ke hari ini,” ujarnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Justeru itu, sudah tentu menurut Hanafiah lagi, kewujudan UMNO tidak boleh disamakan dengan kewujudan parti-parti politik yang lain, seumpamanya Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pertubuhan Parti Pribumi Bersatu (PPBM), yang wujud atas dasar perpecahan, tidak puas hati dan permusuhan.

“Kita juga tidak dapat menafikan, bahawa parti-parti politik pembangkang seperti PKR, PPBM, Pas, merupakan parti serpihan UMNO yang wujud di atas punca dan unsur perpecahan. Seperti Pas, ianya wujud kerana perasaan tidak puas hati salah seorang pimpinan UMNO yang kalah bertanding ketika itu. Ianya satu sejarah dan sukar untuk kita kambus sejarah itu.

“Begitu juga dengan PKR, kita semua sedia maklum bahawa penubuhannya adalah semata-mata untuk membela Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tidak lebih daripada itu. Jika di selusuri sejarahnya, jelas PKR bukanlah ditubuhkan kerana perjuangan untuk membela rakyat tetapi wujud semata-mata mahu membela Anwar Ibrahim.

“Dan sejarah PPBM juga begitu. Ianya tertubuh kerana ada pemimpin UMNO yang telah termakan fitnah. Walaupun ada nama-nama tokoh politik veteran seperti Tun Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan lain-lain, namun ianya tidak dapat menutup fakta bahawa kewujudan PPBM adalah kerana unsur perbalahan dan perpecahan,” tegasnya.

Justeru itu, beliau mengharapkan agar generasi bangsa Melayu hari ini, khususnya anak muda Melayu tidak memandang ringan perkara ini dan jangan bertindak membakar kelambu hanya semata-mata kerana seekor nyamuk.

“UMNO sebagai sebuah parti poitik yang terus berkuasa semenjak selepas merdeka, sudah tentulah ianya akan diserang dan dihujani dengan pelbagai tohmahan oleh parti-parti lawannya, yang bertujuan untuk menjatuhkan UMNO dan mengambil alih kuasa.

“Dan amat malang sekali, pendekatan parti-parti lawan yang berseteru dengan UMNO menggunakan fitnah dan tohamahan sebagai senjata propaganda mereka untuk menjatuhkan parti terbesar bangsa Melayu ini.

“Apatah lagi apabila parti-parti pembangkang hari ini secara jelas memperlihatkan pendirian dan kecenderungan mereka untuk mencabuli dasar-dasar perjanjian bersama antara pemimpin Melayu dan bangsa lain sebelum merdeka dulu, contohnya seperti hak-hak istimewa orang Melayu, dasar-dasar ekonomi orang Melayu, agensi-agensi kerajaan yang membantu orang Melayu, malah menyatakan dengan jelas hasrat mereka untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang samarata, yang mana mirip kepada gagasan Malayan Union satu ketika dulu.

“Sebab itu, amat penting bagi kita untuk sedar, terutamanya generasi muda bahawa UMNO bukanlah mempertahankan kuasa sebagai pentadbir di negara ini semata-mata hanya kerana nafsu serakah ingin berkuasa, tetapi UMNO mempertahankan kuasa ini bertujuan agar bangsa Melayu terus dapat melaksanakan matlamat asal penubuhan UMNO, iaitu mempertahankan Islam, bangsa dan juga tanahair,” tegasnya – MediaUMNO

  • Infografik