Enggan Terus Dibuli… Tindakan Pas Putus Tahaluf Siyasi Dengan PKR Wajar Dan Berani

KUALA LUMPUR, 4 Mei – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim melihat desakan perwakilan Pas yang sebulat suara mahu memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR adalah suatu yang wajar dan sangat berani lantaran mereka seakan-akan dibuli oleh pakatan pembangkang di dalam Pakatan Harapan sendiri.

“Pada saya, ini adalah satu gelagat dan dilema dalam politik jika ada di kalangan parti yang bergabung hanya untuk mengejar kepentingan parti mahupun diri sendiri sahaja.”

Katanya, Pas wajar memutuskan hubungan dengan mana-mana parti politik yang bersekongkol dengan Dap khususnya selepas menilai sendiri keikhlasan PKR dalam menyelesaikan kemelut dalaman pakatan pembangkang sebagaimana pendekatannya memartabatkan syariat Islam berkaitan RUU 355 dan isu konsert Selena Gomez baru-baru ini.

“Ini berbeza dengan kita (UMNO) yang mempunyai perjuangan cukup jelas dan berpijak di bumi yang nyata.

“Parti serpihan UMNO seperti PKR ini hanya rakus untuk menjatuhkan parti yang membela negara dan bangsa tanpa mempedulikan semangat dan keikhlasan yang ditunjukkan oleh kepimpinan parti Pas.

“Pemimpin PKR dilihat banyak membelakangkan Pas apatah lagi apabila Pas dilihat bersetuju dengan dasar-dasar kerajaan pusat biarpun tidak wujud tahaluf siyasi,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online hari ini.

Tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, dari sudut realiti, PKR bukanlah sebuah parti yang boleh dijadikan pilihan untuk menjalinkan kerjasama atau bertahaluf siyasi.

“Pergolakan yang berlaku dalam pakatan pembangkang ini akan memberi kesan terhadap keyakinan dan kepercayaan rakyat. Mereka akan memperhatikan gelagat politik dan membuat tafsiran secara drastik terhadap setiap keputusan pemimpinnya,” tambahnya lagi. – MediaUMNO

  • Infografik