• Panduan Dan Syarat Cabutan Bertuah Sempena Hari UMNO 71
    Kaedah Muat Turun Aplikasi Malaysia4All
    Info & Syarat Pertandingan Esei, Video Pendek #UMNO71
  • Peluang Pekerjaan Cukup, Pendapatan Tinggi Antara Aspirasi Popular TN50 Fasa Satu

    PUTRAJAYA, 21 April – Peluang pekerjaan yang mencukupi dengan pendapatan tinggi serta kualiti hidup setaraf dengan negara maju merupakan aspirasi popular golongan belia sepanjang fasa pertama dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50), kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin hari ini.

    Beliau berkata aspirasi tersebut merupakan antara 26,000 aspirasi yang dikumpul daripada 585,000 belia yang sudah didekati melalui pelbagai saluran termasuk dialog dan dalam talian serta yakin sasaran mendekati 1.5 juta belia dapat dicapai menjelang hujung tahun ini.

    Katanya, 80 peratus aspirasi TN50 yang diutarakan oleh golongan belia Malaysia menyentuh hala tuju mengenai ekonomi dan pekerjaan, pendidikan dan pemerkasaan kemahiran, nilai-nilai masyarakat, persekitaran dan kesejahteraan hidup serta tadbir urus kerajaan.

    “Di bawah aspirasi ekonomi dan kerajaan, golongan belia mahu melihat sebuah negara yang mempunyai struktur dan sektor eknomi yang lebih maju, mampan dan berteknologi tinggi. Mereka juga mahu pendapatan meningkat secara drastik dalam masa 30 tahun, dan impikan aturan tempat kerja yang fleksibel, iaitu mereka tidak perlu masuk kerja 9 pagi dan balik 6 petang, sebaliknya bekerja di mana saja menggunakan teknologi asalkan indeks prestasi utama (KPI) dicapai.

    “Menurut belia, sistem fleksibel perlu bagi mereka menjana pendapatan kedua sebagai usahawan. Sangat jelas, belia Malaysia tidak mahu pengguna teknologi asing di negara ini dan mahu Malaysia membina, mereka dan mencipta teknologi sendiri,” katanya dalam sidang media mengenai 90 Hari Pertama Dialog TN50 di pejabatnya di sini hari ini.

    Katanya, belia juga khuatir dengan impak teknologi baharu menggantikan tenaga manusia justeru, persediaan menghadapinya perlu dilakukan sekarang

    Selain itu, Khairy berkata antara aspirasi berkualiti tinggi turut mendapat perhatian belia ialah persekitaran dan kesejahteraan hidup yang melibatkan sistem pengangkutan yang maju dan sepadu terutamanya infrastruktur pengangkutan di luar bandar dan antara negeri selain penggunaan teknologi hijau yang meluas dengan pembangunan yang mampan.

    “Ada antara mereka yang mencadangkan pertanian bandar di rumah-rumah untuk kegunaan sendiri dan dijual melalui satu jaringan yang dibangunkan, agar orang ramai tahu siapa yang menjual apa, menerusi jaringan itu,” katanya.

    Dalam aspirasi pendidikan, Khairy menambah golongan belia mahukan pendidikan yang efektif untuk menyediakan generasi muda dan berumur untuk menghadapi kehendak pasaran dan tekanan hidup serta perubahan teknologi serta pendidikan dengan kos minimum dari prasekolah hingga ke peringkat tinggi.

    “Kebanyakan belia mahu lihat sistem urus tadbir kerajaan yang telus dan berintegriti melalui penggunaan data untuk pengumpulan data dan analisis data bagi meningkatkan proses membuat keputusan secara kompeten dan cekap,” katanya.

    Bagi aspirasi nilai dan tingkah laku, katanya, generasi muda di negara ini menegaskan identiti sebagai warga Malaysia dipegang namun semua mesti menghormati budaya, agama dan bahasa lain, serta memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan dalam peluang untuk menaik taraf kehidupan, selain meningkatkan kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat.

    Namun, Khairy menjelaskan: “Dua topik yang paling kurang dibincangkan ialah aspek kesihatan dan persaraan memandangkan kedua-dua isu itu dianggap tidak penting oleh generasi muda. Tetapi, saya paksa dan menggalakkan mereka bincang kerana kalau isu-isu ini tidak dibangkitkan, saya rasa laporan TN50 tidak lengkap.”

    Beliau berkata, dialog dan pengumpulan aspirasi TN50 kini memasuki fasa kedua yang akan diteruskan sehingga akhir tahun ini.

    “Selepas ini juga kami akan memulakan fasa untuk mengupas dan membahas aspirasi belia dengan lebih mendalam bagi menganalisa dan merumus cadangan secara menyeluruh dalam membentuk perancangan dasar TN50 dan Laporan Belia TN50.

    “Kami juga akan membentuk Kumpulan Masa Depan TN50 dengan setiap kumpulan dianggotai 10 anggota belia dan tiga pakar subjek, yang akan melihat dan mengkaji dengan lebih mendalam mengenai topik utama yang berkaitan,” katanya.

    Tambah Khairy, bermula hari ini sehingga 12 Mei, pihaknya akan membuka peluang kepada generasi muda yang berminat untuk turut serta atau mencalonkan nama individu yang berkaliber bagi menjadi Ahli Belia Kumpulan Masa Depan TN50.

    “Kami juga buka permohonan untuk individu berusia lebih 40 tahun yang mahu menjadi Pakar Subjek Kumpulan Masa Depan TN50. Permohonan ini boleh dibuat menerusi www.mytn50.com/circles/registration,” katanya.

  • Infografik