Cadangan Jadikan Pekan Parit Raja Bandar Universiti Langkah Tepat – Aziz

BATU PAHAT, 21 April – Ketua UMNO bahagian Sri Gading,  Datuk Ab Aziz Kaprawi menyambut baik cadangan Menteri Besar Johor, Datuk Khaled Nordin mengenai cadangan supaya pekan Parit Raja ditransformasikan sebagai bandar universiti.

Tambahnya, cadangan ini sememangnya perancangan beliau sejak mula berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Sri Gading bermula tahun 2013 yang lalu.

“Saya melihat potensi pekan Parit Raja untuk dibangunkan sebagai sebuah bandar universiti adalah amat munasabah memandangkan pekan ini menempatkan salah sebuah universiti terkemuka di tanah air iaitu Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) yang mana saya juga telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Mentor kepada universiti ini.

“Selain daripada itu juga, Parlimen Sri Gading menempatkan banyak lagi institusi pengajian seperti Institut Perguruan Tun Hussein Onn, Kolej Kemahiran Tinggi MARA Sri Gading dan Kolej Kejururawatan Batu Pahat yang meningkatkan lagi potensi untuk pekan Parit Raja dijadikan sebagai bandar universiti .

“Integrasi antara pekan dan universiti merupakan satu projek pembangunan yang memerlukan perancangan yang rapi dengan pelbagai pihak terutamanya pihak Majlis Daerah, pihak UTHM, dan penduduk setempat,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Mentor UTHM percaya UTHM mempunyai kepakaran dan pendedahan serta boleh menyediakan khidmat nasihat, memberi maklum balas dan bantuan  berhubung perkara ini.

“Saya akan berbincang dengan pihak UTHM, pihak Pejabat Daerah Batu Pahat dan pihak Majlis Perbandaran Batu Pahat bagi memulakan pelan perancangan dalam masa terdekat.

“Saya dimaklumkan antara model bandar universiti yang akan boleh dijadikan sampel adalah seperti Oxford di UK, Heidelberg di Jerman, Montpellier di Perancis dan Salamanca di Sepanyol,” katanya yang juga Ahli Parlimen Sri Gading.

Ini juga tambah beliau merupakan salah satu usaha untuk menaiktaraf status pekan Parit Raja sebagai destinasi perlancongan pendidikan ataupun ‘Edu-Tourism’.

“Proses perancangan bandar untuk menjadikan pekan Parit Raja sebagai bandar universiti merupakan satu usaha yang berpanjangan dan bukanlah kejayaan yang boleh ditempa semalaman.

“Oleh itu, saya menyeru agar semua pihak dapat memberikan kerjasama yang berterusan dalam memastikan impian dan harapan agar pekan Parit Raja ini menjadi sebuah bandar universiti menjadi reality,” ujarnya. –MediaUMNO

  • Infografik