Guan Eng Tidak Perlu Ugut Rakyat Hanya Kerana Takutkan Bayang-bayang Sendiri

KUALA LUMPUR, 20 April – Naib Presiden Parti Alternatif Rakyat (PAP), Rahmad Isahak berkata, kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kononnya jika kerajaan negeri Dap tumbang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) maka negeri itu akan kembali kepada keadaan prasarana asal yang bakal merugikan penduduk negeri sebenarnya hanyalah membuka pekung kecacatan kepimpinan sendiri.

Jelas beliau, Dap sebenarnya takut sekiranya Barisan Nasional (BN) kembali menawan Pulau Pinang maka segala nanah yang cuba disembunyikan akan terbongkar.

“Kenyataan yang dikeluarkan oleh Guan Eng sebenarnya menggambarkan ketakutan dia kepada bayang-bayang sendiri kerana takut apa yang cuba disembunyikan selama ini akan dapat diketahui rakyat.

“Rasuah dalam Dap bukanlah satu rahsia lagi malah slogan CAT (Cekap, Akauntabiliti, Telus) kerajaan negeri pimpinan Dap juga sebenarnya telah tersasar jauh dan hanya indah khabar dari rupa lebih-lebih lagi istilah ‘kepimpinan melalui tauladan’ parti itu gagal menjadi contoh bila ketua menteri sendiri enggan meletak jawatan apabila terpalit isu rasuah dan sedang didakwa di mahkamah.

“Pentadbiran Dap semakin parah apabila mendapat teguran daripada wakil rakyat sendiri berkaitan isu pembangunan yang tidak memberi sebarang impak positif kepada golongan sederhana dan rendah,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online di sini, hari ini.

Tambah beliau, teguran yang dibuat oleh kepimpinan Dap sendiri terhadap pentadbiran negeri Pulau Pinang seperti membawa maksud bahawa ‘persepsi kotor dalaman’ terhadap kepimpinan ketua menteri sendiri.

Justeru, rakyat Pulau Pinang diingatkan agar tidak terus terpedaya dan ‘takut’ dengan momokan Guan Eng dan gunakanlah kuasa rakyat demi memastikan negeri ini ditadbir serta diterajui sendiri oleh anak jati Pulau Pinang.

“Demokrasi adalah melalui peti undi jadi sepatutnya Guan Eng harus menyeru rakyat untuk menilai prestasi pentadbiran kerajaan negeri dan bukannya ‘mengertak’ pengundi supaya mempertahankan kerajaan Dap pada PRU-14 kelak.

“Guan Eng juga perlu ingat bahawa kerajaan negeri adalah hak milik 1.6 juta penduduk Pulau Pinang dan bukannya hak milik parti Dap malah rakyat tidak boleh mengikut telunjuknya untuk mengekalkan kerajaan yang diterajui oleh Dap seperti mana yang dipraktikkan dalam urus tadbir parti Dap selama ini,” katanya lagi. – MediaUMNO

  • Infografik