Foto Panas : Alasan ‘Serangan Peribadi’ Satu Lagi Wayang Hipokrasi Politik Hebat Pembangkang

KUALA LUMPUR, 20 April – Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Jamawi Jaafar menyifatkan apa yang menimpa Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari dengan seorang ahli parti itu, Dyana Sofya Mohd Daud seharusnya menjadi pengajaran kepada pembangkang kerana sebelum ini fitnah terutama serangan berbentuk peribadi sudah menjadi makanan kepada mereka.

Malah tegasnya lagi untuk sekian kalinya pembangkang mempamirkan politik hipokrasi yang maha hebat apabila mengecam mana-mana pihak yang membuat dakwaan yang disifatkan sebagai serangan peribadi namun pada masa yang sama mereka lupa selama ini merekalah jaguh dalam membuat pelbagai fitnah dan serangan berbentuk peribadi terhadap lawan mereka.

“Hakikatnya inilah gambaran masa depan anak muda yang akan dibawa oleh mereka sekiranya memerintah. Dalam mana UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjelajah negara untuk mendapatkan input anak muda dalam Transformasi Nasional (TN50) ke arah anak muda yang mempunyai intergriti dan keterampilan yang berhemah, pemimpin pembangkang dilihat seolah-olah bangga menunjukkan kebebasan sosial mereka.

“Inilah yang saya katakan tadi…apabila terkena batang hidung sendiri berkenaan penyebaran gambar pemimpin atau ahli mereka pelbagai retorik yang cuba mereka lakukan demi menutup ketelanjuran pemimpin mereka,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Memetik laporan, Dap Pulau Pinang masih belum mendengar sebarang penjelasan daripada Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari berhubung gambar-gambar yang diedarkan secara meluas mendakwa wujudnya hubungan intim beliau dengan seorang ahli parti itu, Dyana Sofya Mohd Daud.

Pengerusi Dap Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, ketika dihubungi berkata beliau akan mengarahkan Zairil untuk “memberi penjelasan” tidak lama lagi dan menasihatkannya supaya berdepan dengan media.

Dyana, yang juga pembantu Lim Kit Siang, tewas kepada Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong dalam pilihan raya kecil Teluk Intan pada tahun 2014.

Jamawi seterusnya berkata mereka yang didakwa dengan isu berkenaan perlu segera tampil memberikan penjelasan dan jika sekiranya benar penyebaran gambar tersebut, ianya adalah perkara yang tidak sepatutnya berlaku.

“Kita menerusi Pemuda BN bukan sahaja membantu anak-anak muda malah cuba sebaik mungkin menonjolkan akhlak dan keperibadian yang terbaik supaya generasi masa depan menjadi generasi yang terbaik,” katanya. -MediaUMNO

  • Infografik