• Panduan Dan Syarat Cabutan Bertuah Sempena Hari UMNO 71
    Kaedah Muat Turun Aplikasi Malaysia4All
    Info & Syarat Pertandingan Esei, Video Pendek #UMNO71
  • Puteri Jadikan Ulang Tahun UMNO Ke-71 Pemangkin Untuk Terus Mara Berdepan Cabaran

    KUALA LUMPUR, 19 April – Puteri UMNO menyifatkan ulang tahun UMNO pada 11 Mei nanti bukan sahaja akan menjadi pemangkin kepada pergerakan itu untuk bergerak dengan lebih padu ke depan malah akan meningkatkan lagi teras perjuangan sayap parti berkenaan untuk terus membantu parti.

    Ketua Penerangannya Haryaty Hamdzah berkata walaupun baru 16 tahun bersama UMNO, sayap bongsu parti akan menghargai segala kepercayaan pemimpin dan akan terus bersolidariti dalam memperkasakan lagi parti.

    “Kini, ahli Puteri UMNO menghampiri jumlah 400,000 orang. Semenjak penubuhan, pemimpin parti tidak pernah mengenepikan peranan Puteri UMNO malah diberikan kepercayaan menjadi Menteri, Timbalan Menteri, Exco Kerajaan negeri, Ahli Dewan Negara, Ahli Dewan Rakyat dan lain-lain.

    “Besar sumbangan parti kepada perjuangan wanita muda. Pada saya, UMNO kekal relevan kerana penubuhan sayap Puteri UMNO serta seluruh pimpinan dan pelbagai peringkat jentera bersama-sama salam perjuangan membela rakyat. Keyakinan kepimpinan parti amat penting dalam mengarus perdana kepimpinan wanita muda dimasa hadapan.

    “Keikhlasan, kesetiaan, penyatuan, berkhidmat dan berintegriti elemen penting dalam memastikan kelangsungan UMNO untuk rakyat Malaysia sehingga ke 2050 malah selama-lamanya nanti,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

    Hari UMNO kali ini adalah sambutan besar-besaran bagi menyemarakkan lagi rasa perpaduan terutama menuju ke ‘mood’ menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

    Sambutan ini juga akan dimulakan dengan larian bendera di seluruh negara secara empat penjuru iaitu bermula di Perlis, Kelantan, Johor dan Sabah.

    Pelancaran larian bendera akan diadakan pada hari mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 26 April nanti oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang akan menyerahkan bendera UMNO, ‘Sang Saka Bangsa’ kepada semua Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri-negeri yang kemudiannya akan diserahkan pula kepada Ketua-ketua Pemuda UMNO Negeri.

    Selain itu, UMNO juga akan menganjurkan pertandingan menulis esei dan video pendek ‘Tujuh Dekad Membangunkan Negara Bangsa’.

    Haryaty seterusnya menegaskan ulang tahun ini juga perlu dilihat untuk menaikkan lagi semangat juang seluruh ahli parti.

    “Pemimpin yang baik wajar dicontohi dan dihormati. Pemimpin yang pergi tidak perlu diratapi, ia merupakan lumrah dalam sebuah perjuangan. Penilaian perjuangan bukan pada awalnya berjuang, sebaliknya bagaimana perjuangan itu diakhiri. Demi menghormati hak, biarkan mereka dengan cara mereka, kita dengan perjuangan kita.

    “Sebagai ahli Puteri UMNO, saya merasakan setiap ahli parti perlu berilmu dan diberikan ilmu. Ilmu berpolitik. Terutamanya Puteri UMNO, mereka wajar didedahkan dengan sejarah dalam dan luar negara, politik dan perjuangan parti dan pihak pembangkang, pendedahan ilmu politik luar negara, transformasi politik dan lain-lain. Hanya dengan ilmu penyampaian aspirasi ahli Puteri UMNO dan imansipasi wanita muda di luar sana dapat direalisasikan.

    “Bersempena sambutan Hari UMNO 71 ini, saya suka mengingatkan diri saya dan ahli parti yang lain agar kekal istiqamah dan ikhlas dalam perjuangan ini. Parti memerlukan ahli politik yang baik untuk memastikan UMNO kekal relevan beribu tahun lagi,” katanya.-MediaUMNO

  • Menjelang Hari UMNO


  • Infografik