Pengasas PPBM Keluar Parti : Isu Kasta dan Kronisme Barah Yang Bakal Hancurkan PPBM

SIK, 19 April – Ahli Parlimen Sik, Dr. Mansor Abdul Rahman berkata, tindakan pengasas parti tersebut, Kamarulazman Habibur Rahman yang mengumumkan keluar dari parti yang diasasnya hari ini ekoran kecewa dengan isu kronisme dan kasta yang menebal di dalam parti tersebut memperlihatkan konflik dalaman PPBM kini semakin kronik.

Menurut beliau, tindakan Kamarulazman yang membuat keputusan keluar parti itu sudah cukup untuk membayangkan betapa kronisme dan kasta di dalam PPBM kini menjadi barah yang sedang merosakkan parti baru tersebut.

“Sejak dari awal penubuhan parti itu, saya memang sudah jangka akan berlaku perkara-perkara seperti ini. Dan terbukti telahan saya itu tepat apabila pengasas parti itu sendiri mengumumkan keluar dari PPBM, kerana kecewa apabila wujudnya kasta dan kronisme yang kuat di dalam parti tersebut.

“Saya menjangkakan perkara ini akan berlaku memandangkan ahli dan pemimpin yang bergerak di dalam PPBM mempunyai agenda politik peribadi masing-masing dan bukannya berjuang kerana untuk agama, bangsa dan negara.

“Sebab itu saya tak hairan bila Kamarulazman, pengasas PPBM ambil keputusan keluar parti kerana kecewa dan tidak tahan dengan kepincangan yang berlaku di dalam parti tersebut,” jelasnya kepada UMNO Online ketika diminta mengulas tindakan pengasas parti tersebut, Kamarulazman Habibur Rahman keluar dari parti yang diasasnya itu.

Tambah beliau lagi, begitu juga ahli-ahli dan kepimpinan PPBM di peringkat akar umbi yang sudah menghidu akan kepincangan yang berlaku serta landasan perjuangan yang tersasar di dalam PPBM dari agenda memperkasakan ummah, bangsa dan negara.

“Baru-baru ini, hampir 200 lebih jentera PPBM di Felda Teloi Timur di kawasan parlimen saya telah membuat keputusan untuk keluar dari PPBM dan kembali semula ke pangkuan UMNO. Mereka di peringkat akar umbi juga sudah melihat bahawa perjuangan PPBM bukan lagi untuk agama, bangsa dan negara, sebaliknya lebih tertumpu kepada perjuangan politik individu.

“Setelah bertemu dengan kesemua ahli PPBM itu, maka akhirnya mereka mengambil keputusan untuk keluar dari PPBM dan kembali semula kepada UMNO. Bendera-bendera PPBM di kawasan itu juga sudah diturunkan dan boleh saya katakan, bahawa PPBM di Felda Teloi Timur sudah lumpuh sepenuhnya,” ujarnya.

Beliau juga meramalkan bahawa PPBM sebagai sebuah parti baru tidak akan dapat bertahan lama ekoran masalah dalaman yang bersangkut paut dengan isu kepimpinan, kasta dan kronisme yang begitu menebal di dalam parti tersebut.

“Jika kita lihat tujuan asal PPBM ditubuhkan pun bukanlah semata-mata kerana mahu membela rakyat, tetapi lebih kepada agenda politik peribadi Tun Mahathir dan sekutu-kutunya untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri dan presiden UMNO.

“Jadi, jika niat di awal-awal penubuhan pun sudah tidak betul, maka tidak hairanlah berlakunya masalah-masalah seperti isu kronisme dan kasta yang disebutkan oleh Kamarulazman itu dan ianya menimbulkan rasa kecewa di kalangan sebahagian besar ahli parti tersebut sehingga menyebabkan mereka membuat keputusan untuk keluar dari parti,” tegasnya.-MediaUMNO

  • Infografik