Kes Rasuah, Salah Laku : Pembangkang Pamerkan Betapa Mereka Ahli Politik Hipokrit Terhebat

KUALA LUMPUR, 18 April – Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah melihat kenyataan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali, yang meminta semua pihak tidak mengukum seseorang selagi ia belum dibuktikan bersalah berkenaan kes yang melibatkan penahanan Ketua Pemuda PKR Ampang, Datuk Adam Rosly oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sebagai kenyataan hipokrit.

Ini kerana menurut beliau dalam isu yang melibatkan 1Malaysia Development Berhad, (1MDB) sebagai contoh, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sering menjadi bahan ceramah dan momokan parti pembangkang dengan mengaitkan pelbagai tohmahan sehingga memperlihatkan seolah-olah beliau telah pun ‘dihukum’ sewenang-wenangnya.

“Segenap ceruk negara Datuk Seri Najib dijaja kononnya terlibat dalam soal berkenaan sedangkan mereka yang ada kaitan telah pun disiasat oleh pihak yang berkenaan. Mereka ini seolah-olah telah menjatuhkan hukuman secara semborono demi kepentingan politik sempit.

“Namun apabila berlaku di sebelah pihak mereka, lain pula yang keluar daripada pimpinan atasan. Pandai pula mereka memberikan alasan dengan menyerahkan kepada pihak berkenaan untuk membuat sisatan dan sebagainya.

“Begitu juga dengan kes yang melibatkan dakwaan rasuah seks terhadap Azmin oleh Rafizi Ramli pada satu ketika dahulu yang mana mereka meminta rakyat agar menyerahkan kepada SPRM untuk membuat siasatan. Tidak pula ‘dihukum’ sepertimana mereka ‘menghukum’ Datuk Seri Najib dalam soal 1MDB.  Pembangkang jelas pamirkan betapa mereka ahli politik hipokrit terhebat” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali, dilaporkan meminta semua pihak tidak mengukum seseorang selagi ia belum dibuktikan bersalah.

Kata Azmin, pihak berkuasa perlu diberi peluang untuk menjalankan siasatan sebaik-baiknya bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.

Ditanya mengenai penahanan Ketua Pemuda PKR Ampang, Datuk Adam Rosly oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azmin berkata, ia adalah proses biasa.

“Siasatan sedang dijalankan, (itu) proses biasa,” katanya kepada media selepas merasmikan sambutan Hari Tanpa Kenderaan dan Hari Bumi di Shah Alam sebelum ini.

Shamsul Anuar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO seterusnya menegaskan tindak-tanduk pembangkang dalam soal tersebut jelas menunjukkan mereka hanya mementingkan politik semata-mata.

Kata beliau memang betul konsep selagi tidak dibuktikan bersalah seseorang itu tidak lagi bersalah namun yang peliknya konsep berkenaan seolah-olah hanya terpakai apabila melibatkan kepimpinan parti pembangkang.

“Dan apabila perkara yang sama terkena kepimpinan kerajaan hari ini riuh rendah seluruh negara dan dicanang untuk mempengaruhi rakyat. Contoh 1MDB adalah yang terbaik,” ujarnya. -MediaUMNO

  • Infografik