Semangat UMNO 71 Tahun Mesti Seiring Dengan Gerak Kerja Mantap Parti Berdepan PRU 14

KLUANG, 13 April – Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Md Jais Sarday berkata, apapun yang diimarahkan sempena hari ulang tahun UMNO yang ke-71 pada tahun ini, ia haruslah memberi satu momentum dan semangat agar semua jentera di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) akan tersusun lebih rapi bagi persiapan menghadapi pilihan raya umum .

Jelas beliau, semangat yang ada pada semua ahli memang tidak boleh dinafikan namun ia haruslah disulami dengan gerak kerja yang dimantapkan agar semua jentera dapat memberikan yang terbaik dalam memastikan Barisan Nasional (BN) menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.

“Kita tidak boleh bersandar pada semangat semata-mata. Ia harus disulami dan seiring dalam memastikan semua jentera parti berada dalam keadaan yang sepatutnya. Jika kita tidak bersedia dari segi ini maka pihak lawan akan mudah mengambil kesempatan,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Tambah beliau, kini BN dan UMNO mempunyai dua pilihan iaitu mahu mengurus pengundi atau mengurus persepsi.

“Saya selalu bercakap berkaitan perkara ini… Untuk menguruskan persepi maka kita harus berterus-terang. Dari segi parti kerajaan, kita tidak semudah parti pembangkang kerana parti kerajaan akan cakap benda yang betul dan apa yang diperkatakan itu adalah satu tanggungjawab.

“Ini berbeza dengan pembangkang kerana mereka akan bercakap apa sahaja tanpa rasa tanggungjawab asalkan boleh pusing fikiran rakyat untuk bencikan kerajaan. Menanamkan sentimen benci itu memang lebih mudah berbanding kerajaan yang bercakap dan memaklumkan apa yang telah kita buat,” katanya lagi.

Justeru jelas beliau, pilihan yang ada pada parti adalah untuk menang pilihan raya dengan cara menguruskan pengundi.

Oleh itu tegasnya  jentera parti harus turun padang dan mengenali pengundi seterusnya menjaga pengundi sehingga tiba pilihan raya.

“Ini harus kita lakukan bagi memastikan BN terus mendapat mandat daripada rakyat pada PRU akan datang,” tambah Jais. – MediaUMNO

  • Infografik